
Sejak awal pagi, penduduk berhampiran Pusat Khidmat Setempat (PKS) Lorong Raja Muda Abdul Aziz sudah mula beratur di tangki air terawat yang disediakan Air Selangor dengan masing-masing membawa baldi bagi mengisi air untuk dibawa pulang ke rumah.
Seorang warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Pheng, 64, mengeluh kerana terpaksa memikul 3 botol besar air, setiap satu berukuran 9.5 liter, selepas kawasan didiaminya di Wangsa Maju, kira-kira 12km dari lokasi itu, turut terputus bekalan disebabkan pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.
“Susah, saya orang tua, mana larat nak angkat berat-berat. Kalau setiap hari macam ini susahlah. Saya lagi kesian kepada mereka yang duduk di rumah tinggi, kalau lif rosak, macam mana mau angkat.
“Ini orang (kilang yang menyebabkan pencemaran) sudah banyak kali saya dengar buat pencemaran ini, kalau boleh jangan bagi saman sahaja kali ini,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Semalam, ketua pegawai eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata, bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang yang terputus sejak Khamis memerlukan sekurang-kurangnya 4 hari selepas bacaan tahap pencemaran bau pada sifar ton sebelum mula pulih secara berperingkat.
Pada hari sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata, pihaknya mengesan pencemaran itu adalah berpunca dari sebuah kilang dan tindakan menyita serta kompaun serta-merta telah dikenakan terhadap premis tersebut yang dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.
Sementara itu di lokasi sama, Aznani Omar, 43, turut senada dengan Pheng dan bersetuju bahawa pihak berwajib wajar mengambil tindakan terhadap mereka yang mencemarkan Sungai Gong.
“Sudah 3 hari rumah saya tiada air …nak mandi pun susah, ada jiran yang datang tumpang mandi guna air yang saya tadah di sini,” katanya yang sanggup memandu dari Seri Gombak selama kira-kira 25 minit untuk ke PKS berkenaan.
Aznani, yang tinggal bersama 5 orang lagi berkata, beliau juga bernasib baik kerana sempat membeli air mineral untuk kegunaan harian sebelum ia kehabisan di kebanyakan pasar raya di sekitar ibu negara.
Jamil Aziz, 60, yang tinggal berhampiran PKS itu pula berkata, bekalan air yang diambilnya adalah bagi menampung kegunaan 6 anggota keluarga, termasuk seorang cucu berusia kira-kira setahun yang tinggal bersama beliau di Setapak Jaya.
“Pihak berwajib harus prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk dan saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera supaya orang ramai tidak mengalami kesusahan ketiadaan air yang berpanjangan,” katanya.
Pemerhatian mendapati beberapa restoran di sekitar Lembah Klang ditutup dengan pengusaha menampal notis “tiada air”dan ada juga yang meneruskan operasi, namun menawarkan menu terhad.