Kilang punca air tercemar akan diarah kosongkan tanah, kata MB Selangor

Kilang punca air tercemar akan diarah kosongkan tanah, kata MB Selangor

Arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang akan diserahkan kepada pemilik berkenaan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kilang yang menjadi punca pencemaran air Sungai Gong sudah diarahkan ditutup dan mengosongkan tanah.
KUALA LUMPUR:
Kilang yang menjadi punca berlakunya pencemaran air di Sungai Gong, Rawang sudah diarah untuk ditutup serta diminta mengosongkan tanah, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Amirudin berkata, arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang akan diserahkan kepada pemilik berkenaan, yang ketika ini mengusahakan kilang membaiki jentera berat.

“Kita arahkan pemilik untuk pulihkan tanah, kena robohkan bangunan dan operasinya. Paling tidak dalam tempoh 3 hingga 4 bulan kita akan tutup sebelum kita pastikan tempat berkenaan betul-betul selamat.

“Kita akan semak sekerap mungkin. Mereka sudah menyusahkan 1.197 juta pemegang akaun (bekalan air) di seluruh negara. Pada Isnin, Pejabat Tanah akan keluarkan notis 7A yang meminta kilang berkenaan mengembalikan peranan asal tanah tersebut.

“Bahkan, kita juga meminta supaya Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad memotong bekalan air dan elektrik supaya mengelakkan kilang itu beroperasi lagi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, hari ini.

Pencemaran air dikesan di Sungai Gong, Rawang, yang mengalir ke Sungai Sembah dan memasuki Sungai Selangor, yang merupakan sungai utama takungan air.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan bekalan air mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 12 tengah hari hari ini melibatkan 4 wilayah.

Air Selangor turut menjangka lebih 50% kawasan terjejas akan kembali pulih dalam tempoh 2 hari bemula hari ini sehingga 7 September.

Ia melibatkan kawasan Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor.

Amirudin berkata, kilang berkenaan sebelum ini pernah dikenakan tindakan kompaun RM60,000 atas kesalahan mencemarkan sumber air pada Mac lalu, namun pihaknya kekurangan bukti untuk mengambil tindakan tutup operasi.

“Jabatan Alam Sekitar memaklumkan mereka sudah kenakan kompaun kali pertama ke atas syarikat berkenaan dan pihak perbandaran Selayang sudah mengeluarkan arahan henti operasi dan mereka sudah berhenti.

“Tetapi selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekitar bulan Jun, mereka kembali beroperasi. Pada masa sama Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa kilang berkenaan memberi khidmat kebersihan, jadi tidak ada bukti yang cukup kuat,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menadah atau menyimpan air, yang menurutnya akan menganggu operasi penyaluran semula air kepada penududuk.

Sebelum ini, polis menahan 4 lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan 4 suspek yang juga adik-beradik. Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat sehingga memutuskan bekalan air untuk pertanian, makanan atau minuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.