Kedai kopi ditimpa malang ketika perniagaan sedang memulih

Kedai kopi ditimpa malang ketika perniagaan sedang memulih

Persatuan kedai kopi berkata banyak kedai makan terpaksa ditutup kerana gangguan bekalan air.

PETALING JAYA:
Persatuan kedai kopi berkata banyak perniagaan sangat terjejas dengan krisis air di Lembah Klang, ketika kebanyakan perniagaan sedang memulih selepas mengharungi kawalan yang dilaksanakan untuk membendung pandemik Covid-19.

Ho Su Mong, presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, berkata kedai kopi dan restoran di banyak kawasan perniagaan mengalami gangguan bekalan air.

“Perniagaan belum kembali normal tetapi sekarang kita berdepan satu lagi cabaran,” katanya kepada FMT.

Ho berkata banyak kedai makan terpaksa ditutup sementara kerana gangguan itu.

“Kami tak boleh catu air kerana kita perlu membasuh,” katanya, dan menambah tidak mudah untuk ikut SOP Covid-19 tanpa bekalan air.

Beliau berkata terdapat kedai makan cuba menggunakan pinggan pakai buang dan botol air tetapi tidak lama kerana pelanggan tidak suka.

Kejadian itu juga menyebabkan beliau tertanya tentang keadaan di Air Selangor dan agensi penguatkuasaan.

“Kami dengar gangguan ini disebabkan pencemaran daripada kilang. Ini tak patut berlaku kerana Selangor lebih membangun berbanding negeri lain,” katanya.

Air Selangor patut tumpu kepada menjalankan lebih banyak pemantauan sumber air bagi mengatasi masalah yang berulang ini, katanya.

Operasi di Loji Rawatan Air Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 dihentikan pada 3 Sept selepas pencemaran di kesan dalam air mentah.

Sebuah kilang ditutup kerana disyaki terlibat.

Sebanyak 1,292 tempat di 7 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sejak itu. Kawasan terbabit adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, dan Kuala Langat.

Presiden Persatuan Hotel-hotel Malaysia, Halim Merican berkata krisis air akan menyebabkan tempahan hotel bertambah.

“Kebiasaannya, kami akan terima banyak tempahan. Tangki air di hotel, bergantung kepada kepenghunian, selalunya boleh menampung pelanggan selama 2 hingga 3 hari,” katanya kepada FMT.

Presiden Persatuan Hotel Bajet, Emmy Suraya Hussein berkata banyak hotel dimaklumkan lebih awal tentang gangguan air.

Beliau berkata kebanyakan hotel sudah bersedia untuk menangani krisis itu, dan menambah hotel juga akan meminta tangki air untuk tujuan kecemasan.

“Kalau kami mengalami kekurangan bekalan air, kami akan meminta tangki air,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.