
“Mengikut siasatan kami sehingga kini, terdapat 3 kes dalam komuniti – seorang merupakan warga Singapura dan 2 pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam data ringkas dikeluarkan hari ini.
Kementerian itu berkata, terdapat 2 kes import dan kedua-duanya dikenakan notis tinggal di rumah sebaik tiba di Singapura.
Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 921 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,222 kes komuniti dan 53,805 melibatkan penghuni asrama pekerja.
Sejumlah 56,174 pesakit pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan 51 kes disahkan masih berada di hospital, namun tidak ada pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.
Seramai 696 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi masih diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Sehingga kini, 27 kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di republik tersebut.