
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, sekiranya kerajaan gagal menyaman syarikat terbabit dalam tempoh 1 bulan, maka Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man hendaklah meletak jawatan.
“Ia berkaitan tindakan yang akan benar-benar menginsafkan mereka. Mengenakan denda sebanyak RM60,000 misalnya tidak menghalang syarikat besar daripada mencemarkan laluan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebanyak 1,292 kawasan di Lembah Klang, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak jam 10 pagi pada Khamis.
Terdahulu hari ini, Air Selangor mengumumkan bahawa 4 loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas akibat pencemaran mula beroperasi semula lewat tengah malam tadi.
Dalam pada itu, polis menahan 4 lelaki adik beradik yang merupakan pemilik kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran yang berlaku.
Semalam kerajaan Selangor menyita kilang terbabit dan mengenakan denda sebanyak RM60,000.
Santiago, bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) berkata, Jabatan Kimia mungkin mengambil masa antara 2 ke 3 minggu untuk menentukan sama ada sisa buangan terbabit juga radioaktif.

Justeru katanya, tindakan segera perlu diambil ke atas syarikat berkenaan, sekali gus menunjukkan kerajaan mengambil serius perkara itu.
Santiago menggesa syarikat berkenaan didakwa di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang membolehkan pesalah dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda tidak lebih RM500,000 atau sebat atau ketiga-tiganya sekali.
“Lesen operasi syarikat juga harus ditarik balik dan tidak dibenarkan beroperasi selama 5 tahun.
“Kerajaan perlu bertindak sekarang sebagai peringatan keras supaya semua pihak mengurus sisa mereka dengan cekap dan berkesan atau syarikat tidak akan berhenti daripada mencemari sungai dan sumber air,” katanya.
Semalam seorang peguam berkata, orang awam boleh menyaman syarikat yang bertanggungjawab ke atas pencemaran air yang menyebabkan 1.2 juta pengguna di Lembah Klang berdepan masalah bekalan air.
Bercakap kepada FMT, Derek Fernandez, peguam pakar berkaitan undang-undang kerajaan tempatan dan alam sekitar berkata, ia adalah satu cara bagaimana orang awam yang terkesan menuntut pampasan atas kesusahan yang berpunca daripada henti tugas tidak berjadual 4 LRA terbabit.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh menyaman pihak berkuasa tempatan berkaitan, termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sekiranya terbukti berlakunya salah guna kuasa atau kegagalan mengambil tindakan yang disengajakan terhadap pihak terbabit, terutama sekali jika ia pernah berlaku sebelum ini.