Tertarik kepimpinan Muhyiddin, 545 ahli Amanah Kota Raja sertai PPBM

Tertarik kepimpinan Muhyiddin, 545 ahli Amanah Kota Raja sertai PPBM

Kesederhanaan ditonjolkan Muhyiddin, selain keupayaan menjaga kebajikan rakyat tatkala pandemik Covid-19 menarik ahli Amanah Kota Raja untuk menyertai PPBM.

Bekas naib pengerusi 3 Amanah Kota Raja menyerahkan borang keahlian PPBM kepada pengerusi PPBM Selangor Abdul Rashid Asari hari ini. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
545 ahli Amanah Kota Raja hari ini mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menyertai PPBM kerana tertarik dengan kepimpinan presiden parti itu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas naib pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin kepada pengerusi Badan Pimpinan PPBM Selangor Abdul Rashid Asari.

Menurut Jaafar, antara faktor membuatkan mereka tertarik menyertai PPBM adalah sifat kesederhanaan dan kepimpinan ditonjolkan Muhyiddin, selain keupayaannya menjaga kebajikan rakyat tatkala penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita lihat, (kepimpinan) Amanah tidak memainkan peranan penting dalam membela rakyat, aspek penjagaan kawasan dan keprihatinan kepada ahli.

“Ahli parti rasa tidak terbela walaupun sekian lama bekerja untuk parti.

“Disebabkan itu kami memilih untuk bersama PPBM dan Perikatan Nasional yang wadah perjuangannya untuk membangun serta membela rakyat.

“Sebagai anak jati Kota Raja, diharapkan parti ini dapat membawa perubahan di kawasan kami,” katanya yang juga bekas ahli Jawatankuasa Amanah Selangor, pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rashid menafikan dakwaan kira-kira 3,000 ahli PPBM Selangor keluar parti kerana pihaknya hanya mengesan 122 ahli sahaja yang meninggalkan parti berkenaan setakat ini.

Katanya, jumlah ahli yang keluar parti itu turut melibatkan 3 ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) PPBM bagi kawasan Kuang, Jeram dan Batang Kali untuk menyertai Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, jumlah ahli PPBM di Selangor setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dengan 5,000 terdiri daripada kalangan bukan Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.