
Menurut laporan itu, Michael Reinoehl terbunuh di Lacey, barat daya Seattle.
Akhbar tempatan Oregon melaporkan Reinoehl disiasat berhubung pembunuhan Aaron Danielson, penyokong Presiden Donald Trump yang ke pusat bandar Portland dan bertempur dengan penunjuk perasaan menentang ketidakadilan perkauman dan kekejaman polis.
Polis Portland tidak memberi maklum balas segera terhadap kejadian itu.
Dalam satu wawancara video yang disiarkan Vice News Khamis lalu, Reinoehl berkata, beliau mempertahankan diri ketika tembakan itu berlaku kerana fikir dirinya dan seorang rakan akan ditikam.
“Saya tiada pilihan. Maksud saya, saya ada pilihan. Saya boleh lihat mereka bunuh seorang rakan saya, tetapi saya tidak akan berbuat demikian.”
Reinoehl, seorang anti-fasis, aktif dalam demonstrasi “Black Lives Matter” menentang perkauman dan kekejaman polis di Portland yang berlarutan hampir 100 hari, menurut mesej dan video di Instagramnya.
Protes diadakan di Portland setiap malam sejak polis membunuh George Floyd, lelaki kulit hitam berusia 46 tahun, di Minneapolis pada 25 Mei lalu.
Julai lalu, pentadbiran Trump mengerahkan pasukan persekutuan ke Portland dalam usaha menghentikan protes.
Trump menandatangani satu memorandum pada Rabu lalu yang mengugut akan memotong dana persekutuan untuk bandar “tanpa undang-undang”, termasuk Portland.