Sekatan kemasukan diskriminasi warga asing, kata badan pemikir

Sekatan kemasukan diskriminasi warga asing, kata badan pemikir

Sekatan kemasukan ke atas warga asing juga menyumbang kepada peningkatan sentimen anti orang asing di negara ini.

Kerajaan mengumumkan sekatan masuk ke atas warga asing dari negara yang mencatatkan lebih 150,000 kes Covid-19 bermula Isnin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir hari ini mempersoal langkah terbaru kerajaan berkaitan Covid-19 dengan menyifatkannya mendiskriminasi warga asing.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, sekatan kemasukan ke atas warga asing menyumbang kepada peningkatan sentimen anti orang asing di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan sekatan kemasukan ke atas warga asing dari negara yang mencatatkan lebih 150,000 kes Covid-19 ke negara ini bermula Isnin.

Minggu lepas, Ismail mengumumkan sekatan kemasukan ke atas pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina juga bermula Isnin berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara terbabit.

Sekatan itu melibatkan pemegang pas dengan status pemastautin tetap, peserta Program Malaysia Rumah Keduaku, ekspatriat, termasuk mereka yang memegang pas lawatan profesional dan pas pemastautin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga melarang warga asing daripada memohon lesen baru untuk membuka lebih daripada 20 jenis perniagaan di bandar raya itu.

Carmilo Ferlito

Ketua pegawai eksekutif CME Carmelo Ferlito dalam satu kenyataan berkata, langkah itu penting bagi menyekat penularan wabak berkenaan, tetapi mendiskriminasi warga asing.

“Sekatan kemasukan ke Malaysia seolah-olah mengisyaratkan bahawa jangkitan Covid-19 adalah berkait dengan kewarganegaraan seseorang, bukannya kehadiran fizikal di satu-satu tempat,” katanya.

“Misalnya kenapakah seorang warga Itali yang tiba dari Jepun dilarang memasuki Malaysia berdasarkan negara asal yang tercatat di pasportnya?”

Beliau berkata, langkah sedemikian mungkin tidak menggalakkan kemasukan pelaburan asing langsung dan syarikat antarabangsa, sekali gus memberi kesan negatif ke atas ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan.

“Seolah-olah sumbangan orang asing, sama ada pekerja migran atau ekspatriat kepada ekonomi Malaysoa tidak diiktiraf lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.