Covid-19: Korea Selatan lanjut langkah pencegahan lebih ketat seminggu lagi

Covid-19: Korea Selatan lanjut langkah pencegahan lebih ketat seminggu lagi

Korea Selatan mula mengehadkan operasi restoran, kedai kopi dan roti di Seoul berdasarkan garis panduan penjarakan sosial Tahap 2.5 susulan peningkatan kes Covid-19.

Sejak 14 Ogos, jumlah kes baru Covid-19 berada pada paras 3 digit, kebanyakannya membabitkan kluster gereja di utara Seoul dan perhimpunan antikerajaan yang diadakan pada 15 Ogos. (Gambar AP)
SEOUL:
Korea Selatan pada Jumaat memutuskan untuk melanjutkan langkah pencegahan lebih ketat di restoran, kedai kopi dan roti di wilayah Seoul seminggu lagi berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19, lapor agensi berita Yonhap.

Sejak Ahad lalu, negara itu mula mengehadkan operasi restoran, kedai kopi dan roti di Seoul berdasarkan garis panduan penjarakan sosial Tahap 2.5, sambil langkah pencegahan Tahap 2 masih dikuat kuasa di seluruh negara sejak pertengahan Ogos.

Sejak 14 Ogos, jumlah kes baru berada pada paras 3 digit, kebanyakannya membabitkan kluster gereja di utara Seoul dan perhimpunan antikerajaan yang diadakan pada 15 Ogos.

Korea Selatan melaporkan 198 jangkitan baru COVID-19 pada Jumaat, meningkatkan jumlah keseluruhan menjadi 20,842.

Jumaat menandakan hari kedua berturut-turut, angka harian yang dicatatkan berada di bawah 200.

Di bawah peraturan Tahap 2.5, restoran dan kedai roti boleh beroperasi sehingga 9 malam dan hanya perkhidmatan penghantaran dibenarkan beroperasi dari 9 malam hingga 5 pagi.

Sementara itu, untuk operasi kedai kopi francais hanya perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran dibenarkan, berikutan terdapat laporan mengenai jangkitan kluster kedai kopi.

Kemudahan sukan dalaman seperti pusat kecergasan dan dewan biliard serta sekolah yang padat juga akan ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.