NGO Sarawak lapor polis terhadap pemimpin PAS berkait komen kitab Injil

NGO Sarawak lapor polis terhadap pemimpin PAS berkait komen kitab Injil

Gerakan Mengubah Sarawak menuntut Nik Muhammad Zawawi Salleh memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Parlimen pada 26 Ogos lalu.

(Dari kiri) Ahli Gerakan Mengubah Sarawak, Mike Lim, Robert Ho dan Edmund Lee bersama penasihat undang-undang, See Chee How selepas membuat laporan terhadap Nik Muhammad Zawawi Salleh di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hari ini.
KUCHING:
Beberapa ahli NGO Sarawak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan dakwaannya kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah” pada minggu lalu.

Ahli Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS), Mike Lim, Robert Ho, dan Edmund Lee membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pagi tadi. Mereka ditemani penasihat undang-undang gerakan itu, See Chee How.

“Kami bersama Persatuan Gereja Sarawak, Persekutuan Kristian Malaysia dan semua penganut Kristian menuntut Zawawi memohon maaf atas kenyataannya,” kata Lee selepas membuat laporan polis itu.

“Kami menggesa beliau menarik balik kenyataannya di Parlimen pada 26 Ogos lalu. Kami turut menggesa polis dan pihak berkuasa berkaitan menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya.”

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Ketua ulama PAS itu bagaimanapun bertegas sebelum kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah”, agama yang dibawa Nabi Isa tidak membenarkan penganut minum sedikit arak pun.

Beliau membuat kenyataan kontroversi itu di Dewan Rakyat ketika membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi menambah hukuman buat pemandu mabuk.

Beliau juga enggan memohon maaf dan berkata penganut Kristian “tiada hak tersinggung” dengan kenyataannya.

Susulan itu, DAP Sarawak memfailkan laporan polis terhadap Zawawi pada Ahad lalu.

Pemimpin politik di Sabah turut menggesa Zawawi menarik balik kenyataannya.

Ahli MoCS berkata, Sarawak yang terdiri daripada lebih 20 kumpulan etnik berbilang agama, hidup bersama secara harmoni dan saling menghormati sebelum pembentukan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.