
Suhana Ismail, 52, yang bertugas di Bahagian Toksikologi Pusat Analisis Sains Forensik di Jabatan Kimia, turut menjalankan analisis racun perosak organofosfat dan organoklorin ke atas 3 spesimen itu pada tarikh sama dan tidak menemui kehadiran sebarang racun perosak.
“Selain menjalankan analisis terhadap spesimen hati yang berlabel ‘Nora Anne Quoirin’, saya menjalankan analisis terhadap 2 lagi spesimen berlabel ‘Nora Anne Quoirin’, iaitu ‘peritonel fluid’, cecair yang diperoleh di dalam perut dan spesimen ‘psoas muscle’ yang terdapat di bahagian pinggul atau punggung.
“Pestisid prganofosfat dan organoklorin pula merupakan sejenis racun makhluk perosak yang biasa digunakan dalam industri pertanian,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’Atiqah Sapari selaku pegawai pengendali prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne.
Saksi ke-7 itu yang berkhidmat di bahagian toksikologi sejak 15 Mei 2015 berkata, ketiga-tiga spesimen itu diperolehi daripada pegawai penyiasat Mohd Nor Nikman Ahammed bagi membolehkan pihaknya menjalankan 2 analisis untuk mengesan kehadiran dadah dan racun perosak.
Ditanya Koroner Maimoonah Aid mengapa hanya analisis berhubung dadah dan racun perosak dijalankan, Suhana berkata, ini kerana bahagian toksikologi hanya menjalankan analisis berhubung 2 perkara itu.
Maimoonah: Kamu memberitahu hasil analisis negatif dadah biasa atau “common drugs”, apa maksud “common drugs”?
Suhana: Ia merangkumi dadah-dadah yang boleh diperoleh “over the counter” seperti ubat jenis paracetamol yang “precribed” oleh doktor atau dadah yang diambil orang ramai secara salah seperti ecstacy dan kanabis.
Maimoonah: Berapa lama bagi seseorang yang konsisten mengambil ubat (mengandungi dadah) dan seorang lagi yang mengambil ubat secara “on and off” untuk dadah itu kekal dalam badannya.
Suhana: Bergantung kepada kadar metabolisme badan seseorang individu itu dan jangka hayat dadah tersebut boleh bertahan dalam badan seseorang.
Seorang lagi saksi yang juga ahli kimia, Saiful Fazamil Mohd Ali, 45, memberitahu prosiding inkues, analisis yang dijalankan ke atas 2 sampel pasir diambil dari bawah mayat Nora Anne dan kawasan berhampiran mayat mendapati 2 sampel pasir itu mungkin berasal dari sumber sama.
“Saya membuat analisis dengan melihat ciri-ciri fizikal pada pasir dengan membandingkan kedua-dua sampel pasir tersebut. Saya berpendapat pasir-pasir tersebut berkemungkinan berasal dari sumber sama kerana kedua-dua sampel itu mempunyai taburan ketumpatan serupa antara satu sama lain.”
Ditanya Maimoonah mengapa beliau menyatakan “berkemungkinan”, saksi ke-8 itu menjelaskan pihaknya tidak mempunyai data mengenai ketumpatan tanah di seluruh Malaysia dan analisis hanya dijalankan berdasarkan 2 sampel pasir itu yang diterima daripada polis pada 16 Ogos 2019.
Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60km di selatan ibu negara.
Mayat Nora Anne ditemui 9 hari kemudian pada 13 Ogos lalu, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya, susulan operasi pencarian besar-besaran pihak berkuasa.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu tidak mempunyai unsur jenayah dan beliau disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.