
Sekolah Pondok Darussalam Blokagung di Banyuwangi, Jawa Timur memulakan kuarantin 14 hari untuk kira-kira 6,000 pelajarnya selepas 664 pelajar dijangkiti virus itu.
Kebanyakan kes tidak menunjukkan sebarang simptom atau hanya gejala ringan, tetapi polis dan tentera bertindak menutup laluan ke sekolah itu.
“Semua aktiviti perlu dihentikan,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Benget Saragih pada Selasa.
“Solat berjemaah dihentikan buat sementara dan semua pelajar perlu tinggal dalam bilik mereka.”
Ujian saringan besar-besaran dijalankan sejak pertengahan Ogos, selepas beberapa pelajar mengadu tidak sihat, menurut sekolah itu.
Terdapat ribuan sekolah pondok di seluruh Indonesia, negara dengan penduduk umat Islam teramai di dunia.
Jangkitan beramai-ramai itu menyusul selepas hampir 1,300 orang di sebuah akademi tentera Indonesia disahkan positif Covid-19 Julai lalu.
Indonesia yang mempunyai hampir 270 juta penduduk itu menyaksikan penularan lebih kecil di seluruh negara ketika sekolah dibuka semula selepas penutupan beberapa bulan.
Indonesia pada Rabu melaporkan lebih 3,000 kes baru yang menjadikan keseluruhannya lebih 180,000 kes positif dan 7,616 kematian.
Tetapi, dengan kadar ujian saringan antara terendah di dunia, skala sebenar krisis itu dipercayai lebih besar di negara itu.