Kisah sebalik gelaran Mejar Cina

Kisah sebalik gelaran Mejar Cina

Gelaran itu dikurniakan Sultan Abu Bakar sebelum ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menghidupkan semula gelaran Mejar Cina. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi tajuk utama apabila menganugerahkan gelaran “Mejar Cina” kepada seseorang buat kali pertama dalam tempoh lebih 1 abad.

Gelaran Mejar Cina tidak diketahui kebanyakan rakyat Johor dan Malaysia namun hakikatnya, ia mempunyai sejarah panjang sejak zaman Temenggong Daeng Ibrahim, bapa kepada Sultan Abu Bakar.

Temenggong membenarkan pembukaan penempatan orang Cina dikenali sebagai “kangkar” di Johor, mereka diizinkan tinggal tanpa campur tangan kerajaan.

Kangkar mempunyai ketua dan beberapa orang terpilih dilantik oleh Sultan sebagai kapitan atau Mejar Cina.

Tugasnya adalah menyampaikan arahan kerajaan, menerima maklum balas mengenai perkembangan dan menyatukan masyarakat itu.

Tan Hiok Nee dari kangkar Tebrau adalah Mejar Cina yang pertama.

Bercakap kepada FMT, profesor UKM Teo Kok Seong berkata, gelaran Mejar Cina terakhir dianugerahkan Sultan Abu Bakar dan dihentikan selepas kemangkatannya.

“Mejar Cina adalah pegawai tinggi dalam Pentadbiran Negeri Johor ketika itu, yang dilantik oleh Sultan Abu Bakar, semasa pemerintahannya, untuk menjaga ekonomi Cina terutama di sektor pertanian.”

Menurut Teo, bagi individu yang dianugerahkan gelaran itu, mereka mesti seorang usahawan Cina yang disegani dan berjaya.

Pemegang gelaran Mejar Cina ketika ini adalah Wong Khong Soon, yang menguruskan ladang sawit Mado’s dan merupakan keturunan seorang usahawan Johor yang terkenal.

“Menghidupkan semula (penggunaan gelaran itu) pada zaman moden ini bermaksud Kerajaan Negeri Johor sekarang turut mengiktiraf pembabitan kaum Cina yang signifikan dalam sektor ekonomi (pertanian) di Johor,” kata Teo.

“Ia juga merupakan pengiktirafan atas sumbangan penting mereka terhadap pembangunan negeri.”

“Semua ini dilakukan berlandaskan semangat Bangsa Johor yang sangat mementingkan inklusif, tanpa mengira etnik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.