Jason Lo bidas media tempatan selepas tuduhan pecah amanah

Jason Lo bidas media tempatan selepas tuduhan pecah amanah

Penyanyi itu mendakwa laporan baru-baru ini mengenai perbicaraan pecah amanah yang masih berterusan sebagai tidak jujur.

Jason Lo mengugut akan menyaman media tempatan atas laporan mereka berhubung perbicaraan pecah amanahnya.
KUALA LUMPUR:
Penyanyi Jason Lo membidas media tempatan dalam satu catatan Instagram, susulan laporan berhubung kes pecah amanahnya.

Dalam video itu, Lo menyasarkan The Star dan Bernama dengan mendakwa 2 syarikat media itu bersalah dalam “banyak perkara tidak adil” tanpa menjelaskan “perkara tidak adil” itu.

“Anda ada banyak perkara yang perlu dijelaskan, dan banyak perkara yang harus diperbaiki, perlu ditangani.”

Pada satu tahap dalam klip selama seminit itu, Lo mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

“Anda boleh gelar saya apa saja anda mahu, tetapi jangan kata saya tidak jujur. Tidak, saya hanya bergurau, anda tidak boleh beri saya apa-apa gelaran, apa yang akan berlaku ialah saya akan saman anda dan itu yang akan berlaku.”

Dalam klip video itu, Lo turut mengumumkan beliau bercadang mengadakan sidang media di The Bee, Publika, di mana beliau akan “memberitahu kebenarannya kerana saya tidak pandai berbohong”.

Semalam, Lo dan seorang rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah wang sebuah syarikat rakaman lebih RM200,000 tahun lalu.

Lo dan Muhammad Yakub Hussaini, yang merupakan pengarah Fat Boys Records Sdn Bhd, diamanahkan wang berjumlah RM232,500 dan didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang syarikat untuk kegunaan sendiri.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

November tahun lalu, Lo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menceroboh sebuah rumah dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.