
Bintang pop dan pelakon popular Lady Gaga menyapu bersih 5 anugerah di Anugerah Video Muzik MTV (MTV VMA 2020) yang berlangsung secara maya, semalam.
Lady Gaga membawa pulang trofi termasuk Artis Terbaik dan Anugerah Tricon. Manakala lagu kolaborasinya bersama Ariana menerusi ‘Rain On Me’ memenangi 3 kategori Lagu Terbaik, Kolaborasi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Artis popular itu turut mencuri perhatian dengan membuat persembahan kolaborasi lagu itu bertemakan futuristik di pentas Empire State Building sambil mengenakan pelitup muka.
“Ini bukan tahun yang mudah bagi kebanyakan orang, tetapi apa yang saya lihat dalam dunia ini adalah suatu keberanian yang besar.
“Kekal selamat. Luahkan fikiran anda dan saya mungkin kedengaran seperti rakaman yang rosak, tetapi memakai pelitup muka. Ia sebagai tanda hormat,” katanya.
Sementara itu, kumpulan K-Pop terkenal BTS membawa pulang trofi Pop Terbaik, K-Pop Terbaik, Kumpulan Terbaik, dan Koreografi Terbaik menerusi lagu hit mereka berjudul On.
MTV VMA 2020 diadakan di beberapa lokasi luar dan dihoskan Keke Palmer yang turut menampilkan persembahan beberapasa barisan artis terkemuka seperti Miley Cyrus, The Weeknd, Doja Cat dan CNCO.
Acara tahunan gilang gemilang itu sebelum ini dijadualkan diadakan di Barclays Center, New York, namun dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]