
Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh melampau kerana beliau stereotaip terhadap agama itu.
Katanya, ketegangan agama akan terus meningkat jika kenyataan itu dimaafkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), sambil menambah perkara itu harus ditangani.
“MCCBCHST meminta perdana menteri menunjukkan kepemimpinan moral dengan membuat kenyataan melarang ahli politik menggunakan agama untuk memecahbelahkan negara.
“Speaker Dewan Rakyat juga memikul tanggungjawab bagi semua rakyat melarang ahli politik menyentuh soal agama selain daripada perbahasan mereka.
“Jika tiada apa dilakukan, kerajaan sekarang akan memikul tanggungjawab penuh menghancurkan keharmonian agama yang berfungsi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis itu berkata, kenyataan Zawawi berbahaya dan tidak boleh diterima, dan tidak boleh membenarkan ahli politik tidak bertanggungjawab membina permusuhan dengan memperlekehkan agama lain.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh presidennya Archbishop Julian Leow Beng Kim, Sadar Jagir Singh dari Majlis Gurdwara Malaysia, RS Mohan Shan dari Malaysia Hindu Sangam, Tan Hoe Chieow dari Gabungan Persatuan Tao Malaysia, dan Sing Kan dari Persatuan Budha Malaysia.
Pada 26 Ogos lalu, ketika perbahasan rang undang-undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol, Zawawi mendakwa kitab Injil sudah “dipesongkan ataupun diubah”.