Lebih banyak parti desak ketua ulama PAS tarik balik kenyataan kitab Injil

Lebih banyak parti desak ketua ulama PAS tarik balik kenyataan kitab Injil

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun pula berkata, Nik Muhammad Zawawi Salleh gagal mengawal diri daripada membuat komen yang boleh mencetus kemarahan orang lain.

Upko dan SAPP berkata, kenyataan Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil ‘dipesongkan ataupun diubah’ menyinggung perasaan penganut Kristian dan pemimpin PAS perlu berhenti membuat komen sensitif untuk mengelakkan polarisasi berterusan antara rakyat berbilang agama.
KOTA KINABALU:
Lebih ramai pemimpin parti politik di Sabah mendesak Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendakwa kitab Injil sudah “dipesongkan ataupun diubah”.

Rabu lalu, Zawawi yang juga ketua ulama PAS dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Zawawi bagaimanapun bertegas sebelum kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah”, agama yang dibawa Nabi Isa tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.

Timbalan Presiden Upko, Donald Peter Mojuntin berkata, tindakan Zawawi mempertahankan kenyataannya di luar Parlimen keterlaluan serta menyinggung perasaan penganut Kristian.

“Apabila kali pertama saya mendengar perkara itu, saya tidak percaya, namun beliau (Zawawi) terus mempertahankan kenyataannya.

“Mana-mana rakyat Malaysia yang berfikiran baik, tidak boleh memaafkan sikap beliau yang seakan-akan cuba memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Saya mendesaknya menarik balik kenyataannya dan saya juga menunggu rakannya (dalam PAS) menegurnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden SAPP, Japiril Suhaimin menggesa pemimpin PAS berhenti membuat kenyataan sensitif untuk mengelakkan polarisasi berterusan antara rakyat berbilang agama dan kaum.

“Berkali-kali kita berdepan pemimpin yang bercakap tanpa memikirkan Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Setelah tinggal bersama di negara tercinta ini sejak Malaysia ditubuhkan, sangat menyedihkan bangsa dan agama masih dipolitikkan pihak tertentu yang memudaratkan keharmonian masyarakat.

“Jangan lupa anda salah seorang penggubal dasar negara. Pentingkan pengekangan, kepekaan dan pertimbangan perasaan orang lain, terutama dalam soal agama dan bangsa.”

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun pula berkata, sebagai wakil rakyat, Zawawi perlu tahu cara mengawal dirinya daripada menyinggung perasaan atau mencetus kemarahan orang lain.

“Zawawi menunjukkan dia gagal mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata yang jelas merendahkan orang lain. Maka, dia seharusnya ditegur orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sebegini.”

Setakat ini, Zawawi enggan meminta maaf berhubung kenyataannya itu walaupun didesak oleh pelbagai pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.