
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 11.49 pagi dan 40 anggota serta pegawai termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dikerah ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata, 2 yang maut, Mohammad Rahim Md Kabir dan Hedayad Tullah Adu Karim ditemui dalam keadaan tertiarap akibat dihempap lantai konkrit itu.
Katanya, seorang lagi mangsa, Habi Basyar Abul Nazar parah di kepala akibat terkena serpihan runtuhan lantai konkrit berkenaan namun sempat melarikan diri ketika kejadian.
“Difahamkan ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berumur sekitar 20-an sedang melakukan kerja memunggah barang di tingkat bawah untuk dipindahkan ke kilang baharu.
“Bagaimanapun, lantai konkrit di tingkat atas runtuh lalu menghempap mereka. Mangsa yang sempat melarikan diri dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh pihak kilang untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Norazam berkata, bomba mengambil masa kira-kira 1 jam setengah untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa di bawah sisa lantai konkrit yang runtuh itu dan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Beliau berkata, punca kejadian runtuhan itu masih dalam siasatan dan pihaknya sedang membuat semakan lanjut mengenai status tahap keselamatan kilang berkenaan.