Pinda Akta Penagih Dadah kurang kesesakan penjara

Pinda Akta Penagih Dadah kurang kesesakan penjara

Langkah itu yang akan dibuat dalam masa terdekat dilihat mampu mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara yang turut menempatkan banduan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menempatkan penagih di pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menempatkan penagih di pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, langkah itu yang akan dibuat dalam masa terdekat dilihat mampu mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara yang turut menempatkan banduan penyalahgunaan dadah.

“Sekarang kami dalam peringkat kajian untuk kami perincikan (pindaan),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan penagih dadah tidak dipenjarakan sebaliknya ditempatkan di pusat rawatan dan pemulihan (CCRC) bagi tujuan pemulihan lebih berkesan.

Menjawab soalan asal Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) mengenai bahagian di Sarawak yang mempunyai tangkapan penyalahgunaan dadah tertinggi, Ismail berkata berdasarkan statistik suku pertama tahun ini, Kuching mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,499 orang.

“Berdasarkan maklumat terkumpul polis, AADK, Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan dadah persendirian, pada suku pertama 2020, Sarawak mencatatkan 3,998 orang dengan Kuching merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 1,499 orang.

“Mengikut tangkapan tahunan, pada 2018 seramai 4,762 orang ditangkap dan pada 2019 seramai 6,774 orang penagih ditahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.