
Membabitkan peruntukan RM45 bilion, aspek dasar RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 diluluskan Dewan Rakyat selepas dibahaskan 30 ahli Parlimen sejak minggu lalu.
Selepas ini, para wakil rakyat akan membahaskan aspek teknikal dan perincian RUU itu dengan lebih lanjut, diikuti dengan satu lagi pusingan undian selepas perbahasan.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, ketika penggulungan berkata kerajaan sedia menyuntik dana tambahan untuk membiaya usaha kerajaan jika perlu, menjawab desakan wakil rakyat yang mahu peruntukan dinaikkan kepada RM90 bilion.
“Kita perlu lebih dinamik, jika perlu, jumlah rangsangan akan ditambah,” katanya. “Kita tak boleh lihat pada jumlah yang dibelanjakan sahaja tetapi hasilnya.”
Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan kementerian dalam perbincangan dengan bank dan perusahaan kecil dan sederhana berhubung bantuan bank bersasar.
Beliau melaporkan, sebanyak 43,560 permohonan bantuan bank bersasar diterima sejak 7 Ogos dan sebanyak 22,266 permohonan sudah diluluskan.
“Bagi PKS, sebanyak 3,325 permohonan diterima dan 2,245 sudah diluluskan,” katanya.