Perkhidmatan feri P Pinang tertangguh pertama kali dalam tempoh 126 tahun

Perkhidmatan feri P Pinang tertangguh pertama kali dalam tempoh 126 tahun

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, perkhidmatan feri tidak pernah tertangguh sebelum ini dalam tempoh 126 kewujudnnya.

Feri ‘Pulau Pinang’ dan ‘Pulau Undan’ yang tersadai di terminal feri di Butterworth.
GEORGE TOWN:
Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik terhenti operasi sepenuhnya buat kali pertama hari ini dalam sejarah kewujudnnya selama 126 tahun selepas 2 feri terakhirnya mengalami masalah teknikal.

Dengan kerosakan enjin dikenal pasti sebagai masalah utama, operator Rapid Ferry berkata, keadaan itu menyebabkan perkhidmatan feri dihentikan untuk tempoh 2 hari ini.

Ramai penumpang terperangkap dan hanya mengetahui mengenai masalah itu melalui notis yang dipaparkan di terminal feri di George Town dan Butterworth pagi ini.

Mereka mengkritik operator feri yang memuat naik hantaran memaklumkan gangguan perkhidmatan itu pada jam 1.25 pagi.

Berikutan itu, Rapid Ferry berkata perkhidmatan feri tidak dapat disediakan selama 2 hari berikutnya kerana enjinnya perlu diperbaiki.

Pada masa sama, operator berkata, bas ulang-alik akan disediakan di kedua-dua lokasi terminal.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader berkata, berita itu amat mengejutkan memandangkan perkhidmatan feri tidak pernah tertangguh sebelum ini, walaupun ketika jambatan terminal feri Butterworth runtuh pada 1988.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk membenarkan perkhidmatan feri terganggu pada masa ini, sekali gus menyebabkan kesukaran dan ketidakselesaan kepada ramai orang,” katanya kepada FMT.

“Kementerian Pengangkutan mesti memulakan inkuiri berhubung keadaan menyedihkan itu dan pengabaian tugas penyelenggaraan perkhidmatan feri.”

Sementara itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kota, Daniel Gooi meminta penjelasan daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), yang merupakan agensi pusat yang bertanggungjawab menyelia perkhidmatan feri.

“Kenapa rakyat Pulau Pinang perlu menderita disebabkan ketidakcekapan SPPP?”katanya, selain menambah bahawa gangguan perkhidmatan itu boleh dihindari sekiranya langkah pencegahan diambil.

Beliau turut menggesa peletakan jawatan pengerusi SPPP susulan isu berkenaan.

Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy mengalu-alukan langkah penyediaan bas ulang-alik bagi mengatasi masalah penangguhan perkhidmatan feri, tetapi menyifatkannya menggagalkan tujuan asal bagi menyediakan perjalanan lintas selat

Beliau berkata, tempoh selang 20 minit bagi perkhidmatan bas ulang-alik menyebabkan penumpang terpaksa mengambil masa lebih panjang untuk pergi ke George Town atau Butterworth, iaitu perjalanan yang biasanya mengambil masa 20 minit dengan menaiki feri.

Di Kuala Lumpur, ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menuntut penjelasan berhubung penangguhan sementara perkhidmatan itu.

Beliau berkata, ia tidak tidak pernah berlaku, sekali gus menyifatkan gangguan perkhidmatan itu “memalukan”.

Bercakap pada sidang media di Parlimen beliau berkata, syarikat pengangkutan Prasarana berada di bawah tanggungjawab ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan pengerusi SPPP Tan Teik Cheng perlu memberi berhubung isu yang menimbulkan kesukaran kepada penumpang feri di Pulau Pinang.

FMT telah menghubungi Tan bagi mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.