
Laporan itu juga menunjukkan bagaimana isi rumah berpendapatan rendah dengan ketuanya adalah wanita merupakan yang paling teruk terjejas, iaitu dengan kadar pengangguran lebih tinggi dan pandangan yang jauh lebih pesimistik mengenai prospek pemulihan dalam tempoh 6 bulan akan datang.
Laporan itu yang dibuat dengan kerjasama DM Analytics, sebuah institusi dasar dan penyelidikan awam berpangkalan di Malaysia, diketuai Muhammed Abdul Khalid.
Wakil UNFPA di Malaysia Marcela Suazo berkata, laporan itu juga menunjukkan bagaimana campur tangan kerajaan memberi begitu banyak sokongan, selain cabaran dalam memberikan sokongan berkenaan kerana pihak berkuasa berusaha untuk menyeimbangkan kesihatan awam dan masalah sosio-ekonomi.
“Sudah tentu dalam situasi ini, dilema ini bukan unik bagi Malaysia. Senario ini berlaku dan terus diperlihatkan secara global, dari negara maju hingga membangun.
“Novel koronavirus ini adalah musuh berbahaya yang memerlukan kita, seperti gesaan setiausaha agung PBB supaya kerajaan dan masyarakat untuk benar-benar ‘bekerjasama sebagai satu keluarga manusia’,” katanya.
Bercakap kepada media pada pelancaran kajian “Families on the Edge” hari ini, Suazo berkata, keluarga berpendapatan rendah di bandar cenderung untuk menganggur, mengurangkan waktu bekerja dan menghadapi cabaran lebih besar untuk mengakses penjagaan kesihatan dan pembelajaran di rumah.
Covid-19 juga memburukkan lagi keselamatan makanan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan memaksa ramai keluarga dalam golongan ini untuk mengamalkan diet kurang sihat.
Dengan itu ia mengancam untuk memburukkan lagi krisis kekurangan zat makanan kanak-kanak di Malaysia.
Laporan itu menunjukkan ketua isi rumah wanita yang berpendapatan rendah sangat terjejas, dengan kadar pengangguran lebih tinggi, iaitu 32% berbanding jumlah ketua isi rumah.
Ketua isi rumah wanita juga mencatatkan kadar akses kepada perlindungan sosial yang lebih rendah, dengan 57% tiada akses berbanding 52% jumlah ketua isi rumah.
Pengarah urusan DM Analytics Muhammed berkata, dasar yang lebih mampan perlu dilaksanakan segera dalam menangani masalah yang dihadapi golongan miskin bandar di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah isu kesihatan mental dan perlindungan sosial.
“Kita mengetahui semasa krisis, ramai keluarga terjejas dari segi perlindungan sosial. Perlindungan sosial di Malaysia hanya melindungi mereka yang bekerja secara formal, ‘Mak cik Kiah’ tidak dilindungi, ramai dalam bidang ekonomi gig tidak dilindungi,” katanya.
Dijalankan pada Mei 2020, laporan itu adalah siri pertama di bawah projek “Families on the Edge” dan menerangkan tentang kesan sosio-ekonomi daripada krisis Covid-19 ke atas sekumpulan 500 keluarga bersama anak-anak di flat kos rendah Kuala Lumpur.
Ia juga memberi gambaran awal mengenai kesesuaian, kecukupan dan kebolehcapaian dasar pengurangan utama Covid-19 dan perkhidmatan sosial kritikal lain untuk kumpulan mudah terjejas ini.
Kajian kaedah campuran ini yang merangkumi tempoh 6 bulan, membabitkan kajian sosio-ekonomi, wawancara kesejahteraan serta komponen fotografi dan videografi.
Laporan akan datang dijangka memantau sejauh mana keluarga ini pulih dan menawarkan pandangan kritikal untuk masyarakat umum dan pembuat dasar kerana Malaysia berhasrat untuk membangun kembali dengan lebih baik.