Laporan audit dedah UDA belum terima bayaran penuh projek BB Plaza

Laporan audit dedah UDA belum terima bayaran penuh projek BB Plaza

Laporan audit menyebut, projek usaha sama BB Plaza menyebabkan UDA mengalami kerugian berjumlah RM143.55 juta sejak 2018.

Laporan Ketua Audit Negara berkata, kegagalan menerima bayaran penuh bagi projek pembangunan Plaza Bukit Bintang memberi kesan ke atas aliran tunai UDA Holdings.
PETALING JAYA:
UDA Holdings masih belum menerima bayaran penuh berjumlah RM336.6 juta daripada syarikat tujuan khas (SPV) yang diwujudkan bagi membangunkan Plaza Bukit Bintang Plaza, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1.

Laporan itu menyebut, keadaan tersebut memberi kesan ke atas aliran tunai UDA bagi membolehkan syarikat itu meneruskan projek pembangunan dan pembelian tanah lain.

“Selain itu, UDA mempunyai komitmen untuk membayar balik kemudahan pembiayaan berjumlah RM500 juta dengan institusi kewangan dan bayaran balik pinjaman kerajaan yang dibuat bagi tujuan pembangunan hartanah,” katanya.

Laporan itu turut menyebut, SPV tersebut diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha sama pembangunan tanah yang sepatutnya membeli sekeping tanah berkeluasan 8,973 meter persegi daripada UDA pada harga RM374 juta.

Mengikut perjanjian jual beli tersebut, SPV dikehendaki membuat bayaran sebanyak 10% daripada harga jualan semasa perjanjian pembelian ditandatangani pada Jun 2014.

Manakala itu, baki 90% akan dibayar selepas pra-syarat dalam perjanjian jual beli itu dipenuhi oleh kedua-dua pihak.

Laporan audit itu selanjutnya mendapati SPV berkenaan gagal memenuhi sebahagian dari pra-syarat yang ditetapkan selepas 10 bulan dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani.

Ia memohon lanjutan masa daripada UDA untuk memenuhi pra-syarat yang ditetapkan.

Selepas lembaga pengarah UDA meluluskan lanjutan masa sehingga 1 Februari 2016 yang tertakluk kepada kenaan faedah sebanyak 4% setahun, syarikat rakan kongsi (bagi pihak SPV) terus memohon penangguhan untuk membayar baki 90% harga jualan berjumlah RM336.60 juta.

Dalam pada itu, UDA memaklumkan kepada Jabatan Audit bahawa pihaknya melantik peguam cara untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menangani isu itu, dengan menambah notis tuntutan telah dihantar kepada kedua-dua pihak terbabit.

Laporan itu menyebut, projek usaha sama tersebut menyebabkan UDA mengalami kerugian berjumlah RM143.55 juta sejak 2018.

Ia berkata, tindakan undang-undang boleh membantu menjaga kepentingan kerajaan, terutamanya imej UDA sebagai pemaju hartanah.

“Kehilangan pendapatan meliputi sewaan ‘mall’, parkir dan ruang pameran. Manakala kos yang ditanggung meliputi sewa pejabat, perpindahan pejabat operasi dari Plaza Bukit Bintang ke Kompleks Pertama dan kos penjualan Plaza Bukit Bintang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.