Inkues Nora Anne bermula dengan keterangan ketua polis Negeri Sembilan

Inkues Nora Anne bermula dengan keterangan ketua polis Negeri Sembilan

Seramai 64 saksi dijangka dipanggil semasa inkues itu.

Mohamad Mat Yusop (kanan) ialah saksi pertama yang dipanggil memberi keterangan dalam inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang koroner membuka inkues hari ini untuk menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis, setahun selepas mayatnya ditemui dalam hutan susulan kehilangannya ketika bercuti dengan ibu bapanya.

Polis menegaskan tiada unsur jenayah ditemui dalam kematian Nora Anne Quoirin, gadis berusia 15 tahun yang mengalami masalah pembelajaran dan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes itu “tidak memerlukan tindakan lanjut”.

Tetapi, ibu bapanya – yang percaya terdapat unsur jenayah dalam punca kematiannya, kerana berkata remaja itu tidak akan merayau bersendirian – menggesa inkues diadakan dan pihak berkuasa bersetuju dengannya.

Pada permulaan prosiding hari ini, Koroner Maimoonah Aid berkata: “Kami di sini untuk menjawab beberapa soalan – Siapakah si mati itu, bila dan bagaimana dia mati dan adakah sesiapa bertanggungjawab.”

Nora Anne dilaporkan hilang daripada resort yang dia tinggal dengan keluarganya berasal dari London, menyebabkan pencarian selama 10 hari melibatkan helikopter, anjing pengesan dan ratusan anggota.

Mayatnya ditemui berhampiran resort hutan itu pada 13 Ogos tahun lalu dan bedah siasat mendapati dia mungkin kelaparan dan mati akibat pendarahan dalaman selepas berada di hutan tebal lebih seminggu.

Seramai 64 saksi dijangka dipanggil semasa inkues dan yang pertamanya ialah Mohamad Mat Yusop, ketua polis Negeri Sembilan.

Mohamad memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan remaja itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu dan segera melancarkan operasi pencarian.

Keesokannya, beliau ke Resort Dusun, tempat Nora Anne hilang dari biliknya sehari selepas keluarganya mendaftar masuk.

“Keluarganya dalam keadaan bimbang ketika saya menemui mereka. Saya berjanji kepada bapanya, kami akan menggunakan semua sumber untuk mencari remaja hilang itu.”

Satu skrin besar di dalam mahkamah menunjukkan gambar resort itu, termasuk banglo yang keluarga itu tinggal.

Sebelum inkues ini bermula, ibu bapa mangsa, Maebh dan Sebastien Quoirin menyifatkan ia sebagai “elemen penting dalam perjuangan untuk kebenaran dan keadilan bagi Nora”.

“Kami berharap semua kaedah mengenai kehilangan Nora akan diteroka sepenuhnya, bukan hanya teori yang sentiasa digemari polis,” kata mereka kepada AFP dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, koroner ke Resort Dusun dan melawat lokasi mayatnya ditemui, lawatan yang disifatkan S Sakthyvell, peguam mewakili keluarga Nora Anne sebagai “cukup teliti”.

Ibu Nora Anne yang berasal dari Ireland dan bapanya dari Perancis tidak menghadiri inkues itu akibat penularan Covid-19. Mereka akan ditemu ramah koroner melalui platform telesidang.

Saksi lain termasuk polis, pendaki yang menemui mayat Nora Anne dan seorang pakar forensik British akan menyertai telesidang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.