Selepas tewas pemilihan PPBM, Redzuan gesa kepimpinan baru diberi sokongan penuh

Selepas tewas pemilihan PPBM, Redzuan gesa kepimpinan baru diberi sokongan penuh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof tewas dalam saingan merebut salah satu daripada 3 jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof.
PETALING JAYA:
Selepas gagal mendapat tempat dalam barisan kepimpinan baru PPBM, Mohd Redzuan Yusof menyeru penyokongnya memberi sokongan kepada barisan kepimpinan baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberi undi kepada dirinya walaupun tewas dalam pemilihan semalam.

“Kepada perwakilan yang menyokong Pak Wan pada pemilihan semalam. Terima kasih atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan semua akan memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan PPBM yang baru,” katanya mengulas keputusan rasmi pemilihan parti itu.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan kerana menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan baru yang diterajui perdana menteri dan presiden parti, Muhyidddin Yassin.

“Kepada barisan kepimpinan yang baru, syabas dan tahniah. Pak Wan yakin bahawa kepimpinan akan sentiasa meneruskan dan melestarikan perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Redzuan gagal mendapat tempat dalam barisan kepimpinan baru PPBM setelah tewas dalam saingan merebut salah satu daripada 3 jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu.

Dalam satu kenyataan, PPBM mengumumkan 3 naib presidennya yang baru, iaitu menteri pusat Ronald Kiandee dan Radzi Jidin, serta orang kuat PPBM Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen.

Jawatan pengerusi PPBM tidak dipertandingkan selepas bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad terbatal keahlian beliau sebelum ini.

Dalam pada itu jawatan presiden kekal dimenangi oleh Muhyiddin dan timbalannya disandang oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu susulan tiada pertandingan bagi 2 jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.