Namakan ahli politik yang dicadang ke lembaga pengarah syarikat milik LTAT, kata Patriot

Namakan ahli politik yang dicadang ke lembaga pengarah syarikat milik LTAT, kata Patriot

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz sebelum ini menyokong pelantikan anaknya sebagai anggota lembaga pengarah Pharmaniaga, yang mempunyai kaitan dengan kementerian itu.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, ramai veteran tentera mempunyai kelayakan untuk mengurus syarikat.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini berkata, angggota lembaga pengarah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hendaklah mempunyai kelayakan bersesuaian, bukannya dilantik kerana hubungan politik.

Ini berikutan kontroversi surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz bagi menyokong pelantikan anaknya sebagai anggota lembaga pengarah Pharmaniaga, yang mempunyai kaitan dengan kementerian itu.

Pharmaniaga dimiliki oleh LTAT secara langsung melalui anak syarikatnya Boustead Holdings.

Ikmal berkata, beliau telah menarik balik surat tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, persatuan itu mahu tahu siapakah ahli politik, selain anak timbalan menteri berkenaan, yang dicadangkan untuk dilantik sebagai anggota lembaga pengarah syarikat di bawah kumpulan Boustead Holdings.

“LTAT dianggotai oleh anggota tentera di seluruh negara. Mereka bukan ahli politik maupun ahli parti.

“Oleh sebab itu lantikan ke lembaga pengarah LTAT, Boustead Holdings dan syarikat kumpulan hendaklah terdiri daripada individu yang berkelayakan dan mengutamakan kepentingan anggota tentera, bukannya kepentingan ahli politik dan penyokong mereka,” katanya.

Arshad berkata, terdapat ramai veteran tentera yang mempunyai kelulusan serta pengalaman dalam bidang perniagaan bagi membangunkan syarikat terbabit.

Katanya, terdapat juga veteran tentera yang meninggalkan perkhidmatan itu lebih awal dan berjaya mendaki tangga dunia korporat untuk kemudiannya memimpin syarikat antarabangsa.

Walaupun sebahagian mereka bukan jeneral atau memegang jawatan tinggi dalam tentera, namun kepakaran dan kecekapan perniagaan mereka harus dihargai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.