Laksana cukai kekayaan, bukan pendapatan, atasi ketidaksamarataan, kata penganalisis ekonomi

Laksana cukai kekayaan, bukan pendapatan, atasi ketidaksamarataan, kata penganalisis ekonomi

Pendekatan itu disyorkan pakar ekonomi dan jutawan di Barat selepas menyedari struktur cukai semasa tidak mampan untuk atasi jurang kekayaan.

Penganalisis ekonomi berkata, adalah lebih baik jika kadar cukai dikurangkan dan pada masa sama menggalakkan pemberian wakaf.
PETALING JAYA:
Di sebalik kebimbangan masyarakat mengenai isu kemiskinan dan ketidaksamarataan dalam kalangan Bumiputera, seorang penganalisis ekonomi mencadangkan supaya cukai kekayaan dilaksanakan terhadap golongan T20, bukan berdasarkan pendapatan seperti ketika ini.

Bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kameel Mydin Meera yang mengakui jurang pendapatan dan kekayaan di Malaysia semakin meluas berkata, pendekatan itu yang disyorkan ramai pakar ekonomi dan jutawan di negara Barat, selepas menyedari struktur semasa dilihat tidak mampan.

“Ya, T20 menjadi kaya dan kaya, sementara B40 pula semakin miskin. Mungkin tidak sampai kata pepatah ‘kais pagi makan pagi’ tapi memang jurang pendapatan dan kekayaan di Malaysia semakin meluas,” katanya kepada FMT.

Katanya, lebih baik jika kadar cukai dapat dikurangkan dan pada masa sama menggalakkan pemberian wakaf.

“Bagi memastikan ia berjaya, masyarakat harus dibiasakan dengan nilai sosial baru di mana mereka yang memberi wakaf sosial dianggap paling berjasa dan tinggi darjatnya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Kameel Mydin Meera

Berdasarkan laporan bancian pendapatan isi rumah 2019 Jabatan Perangkaan, kadar pertumbuhan pendapatan tahunan isi rumah penengah bagi kumpulan B40, naik 1.8% berbanding 6.6% pada 2015 dan 2016, manakala M40 (4.1%) dan T20 (4.5%).

Mengikut pendapatan isi rumah bulanan, pendapatan penengah B40 ialah (RM3,166), M40 (RM7,093) dan T20 (RM15,201).

Beliau menjelaskan, punca utama kepada pelebaran jurang pendapatan antara kumpulan bawahan dan atasan adalah polisi kerajaan yang banyak memberi daripada membina.

Bagaimanapun, Kameel menegaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-2 (1970-1990) oleh perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein berjaya mewujudkan ramai Melayu kelas menengah.

“Sejak DEB lagi, niat itu baik dan membawa kejayaan walaupun pada tahap yang terhad,” katanya.

Namun beliau berkata, sektor kewangan negara terjurus untuk menentang agenda Bumiputera itu sendiri.

“Sektor kewangan, bank komersial khususnya, yang menghasilkan kebanyakan wang, tetapi hanya sejumlah kecil sahaja wang pinjaman yang diberikan kepada peniaga Bumiputera.

“Oleh itu, Bumiputera hanya menjadi antara mereka yang menanggung inflasi yang terhasil dalam sistem ekonomi negara,” katanya yang berpendapat struktur itu melemahkan ekonomi Bumiputera lebih daripada 1 abad.

Kameel berpendapat, untuk merealisasikan pembentukan budaya keusahawanan, sebuah bank khas perlu diwujudkan dalam usaha memberi modal kepada usahawan Bumiputera, termasuk perniagaan “start up”.

“Ia termasuk menyediakan pegawai bank yang akan menjadi ‘co-signatory’ untuk bayaran daripada wang pinjaman supaya wang pinjaman digunakan dengan baik sejajar dengan maksud ia diambil.

“Bantuan berterusan juga perlu diberikan dari segi latihan, penyimpanan akaun, pengurusan kewangan, digitalisasi dan sebagainya untuk meningkatkan peluang kejayaan mereka,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa ekonomi Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan mereka bangsa usahawan.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosio-ekonomi kelompok itu, selain memupuk budaya keusahawanan secara bersepadu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.