Isu kuarantin menteri: Khairuddin patut contohi Agong, kata Guan Eng

Isu kuarantin menteri: Khairuddin patut contohi Agong, kata Guan Eng

Beliau mempersoalkan adakah Khairuddin mempunyai status istimewa.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali masih gagal memahami yang keputusan ujian negatif beliau bukan isu utama.
PETALING JAYA:
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali sepatutnya insaf dan mencontohi kepimpinan melalui teladan seperti ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong yang turut menjalani kuarantin kendiri selepas kakitangan istananya diuji positif Covid-19.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, jika Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikut protokol keselamatan itu mengapa tidak bagi Khairuddin.

“Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebaliknya Khairuddin enggan mengakui kesalahannya yang tidak mematuhi protokol keselamatan Covid-19 untuk dikuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki bulan lalu.

“Khairuddin bukan saja enggan mengaku salah malah tindakan beliau yang mengelak dan menolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sifat angkuh. Malah memberi alasan dengan menyatakan beliau dibenarkan masuk ke istana pada 17 Ogos menjadi bukti beliau diuji negatif untuk Covid-19,” katanya.

Lim berkata, Khairuddin masih gagal memahami yang keputusan ujian negatif beliau bukan isu utama.

“Jika hasil ujian positif pasti beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya. Isunya mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih yang mana menteri bebas, sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda,” katanya.

Katanya, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang membongkarkan perkara itu turut mendedahkan Khairuddin menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat selepas pulang dari Turki pada 8 Julai lalu.

“Kini, soalnya bukan lagi tentang hukuman terhadap Khairuddin atas salah lakunya semata-mata, malah adakah beliau layak menjadi menteri dalam kerajaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.