
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Annuar Musa berkata, perkara itu dipersetujui kedua-dua parti itu sewaktu membincangkan hala tuju MN selain menyifatkan usaha itu sebahagian daripada semangat syura.
Beliau turut menjelaskan bahawa MN tidak dirancang untuk menjadi gagasan eksklusif, sebaliknya perlu berkembang secara organik dan didukung ummah secara melebar dan meluas.
“MN tidak dirancang menjadi eksklusif, sebalik mesti membesar secara organik…didukung ummah secara melebar dan meluas.
“Politik norma baru menuntut inklusiviti. Pihak yang berjaya membina muafakat dan tidak berpecah, akan berjaya…Alhamdulillah pimpinan Umno dan PAS semakin mara…Alhamdulillah matlamat memperkasakan MN secara organik seperti tercatat dalam Perkara 2.2 MOU/Piagam semakin berjaya.
“Umno dan PAS sewaktu membincangkan hala tuju MN, (seperti dalam MOU dan piagam) telah menyatakan komitmen untuk membawa penglibatan parti-parti lain dalam memperkasakan penyatuan ummah,” katanya melalui Twitter hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penjelasan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung surat jemputan kepada PPBM untuk menyertai MN yang tular di media sosial sejak semalam.
Zahid dalam kenyataan di Twitter hari ini mengesahkan bahawa beliau dan presiden PAS, Abdul Hadi Awang menandatangani surat kepada PPBM itu berdasarkan keputusan mesyuarat MN yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Annuar yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) turut menjelaskan bahawa surat jemputan kepada PPBM itu dihantar kepada presiden parti itu Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos sebelum menerima surat persetujuan balas pada 18 Ogos lalu.
“Itulah semangat syura…dibincang dan dipersetujui bersama oleh MN pada 6 Ogos.
“Perkara itu (jemputan PPBM menyertai MN) dilapor dalam Biro Politik dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi Umno) pada 7 Ogos…Surat dihantar 13 Ogos…18 Ogos kita terima surat setuju dari YAB Presiden PPBM,” tulisnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Annuar turut mendedahkan pelbagai parti Sabah mengadakan pertemuan dengan Umno malam tadi dan bersepakat membawa tawaran baru menerusi muafakat rakyat Sabah untuk Sabah.
“Kita pastikan rakyat Sabah yang menang…Bukan pemimpin yang peralatkan sentimen rakyat. Tetapi gagal mensejahterakan rakyat,” katanya.