
Dalam satu catatan Facebook pada Khamis, katanya, ia menampal pelekat berbahasa Cina untuk papan tanda Jalan Main Bazaar, Wayang Street dan Jalan Greenhill, tetapi ditanggalkan pihak berkuasa tempatan itu.
Catatan itu dikongsi 3,000 pengguna dan mendapat 8,000 komen.
Seorang pengguna Facebook menggesa DBKU mengambil tindakan terhadap Pemuda DAP kerana menampal pelekat berbahasa Cina di papan tanda jalan.
Seorang lagi pengguna berkata, tidak perlu bergaduh mengenai bahasa di papan tanda jalan selagi nama jalan itu dalam bahasa Malaysia.
Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Julian Tan mendakwa beberapa papan tanda jalan di bandar itu mempunyai perkataan Cina dahulu.
“Perkataan Cina itu kemudiannya dipadamkan tanpa kita sedari. Itu sebabnya kita cuba mengembalikannya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada budaya Sarawak untuk mempunyai 2 bahasa bagi papan tanda jalan di tempat sesuai.
“Kami memilih untuk mengembalikan perkataan Cina untuk papan tanda Jalan Main Bazaar, Wayang Street dan Jalan Greenhill kerana kebanyakan perniagaan di sana dijalankan masyarakat Cina.
“Ini khasnya untuk Jalan Main Bazaar, yang merupakan destinasi pelancongan utama dengan tokong Cina tertua di Kuching terletak di sana.”