Hormati budaya Sarawak, Semenanjung, kata Pemuda DAP

Hormati budaya Sarawak, Semenanjung, kata Pemuda DAP

Papan tanda jalan yang memaparkan bahasa Cina sudah lama menjadi ciri istimewa di bandaraya Kuching.

Pemuda DAP berkata papan tanda jalan yang juga memaparkan bahasa Cina sudah lama menjadi ciri istimewa di bandaraya Kuching, yang baru-baru ini diubah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP meminta sekutunya supaya menghormati perbezaan sosio budaya antara Sarawak dengan semenanjung Malaysia yang timbul susulan isu papan tanda di bandaraya Kuching, baru-baru ini.

Menjawab kritikan Pemuda Amanah dan PKR, Pemuda DAP berkata tidak semua yang berlaku harus dibaca melalui kanta dan fahaman semenanjung khususnya berkaitan isu membabitkan budaya setempat.

“Perlu dimaklumkan papan tanda jalan yang juga memaparkan bahasa Cina sudah lama menjadi ciri istimewa di bandaraya Kuching, yang baru-baru ini diubah.

“Pemuda DAP Sarawak hanya mengorak langkah untuk memulihkan kembali apa yang sudah lama bertapak dan tidak pernah menjadi isu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mereka menghormati hak Pemuda Amanah dan PKR namun pendapat kepimpinan kedua-dua sayap itu di Sarawak perlu didengar sebelum serangan dituju terhadap Pemuda DAP.

“Pemuda DAP kebangsaan menghormati autonomi Sarawak dan keputusan DAP dan Pemuda DAP Sarawak dalam isu papan tanda jalan, termasuk penyelesaian kepada kemelut ini yang bakal dicapai antara DAP Sarawak dan DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara),” katanya.

Khamis lalu, sekumpulan ahli Pemuda DAP Kuching menampal pelekat tulisan Cina pada papan tanda jalan di beberapa lokasi di pusat bandar raya antaranya Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Ia menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk Amanah yang menggesa Pemuda DAP meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan mereka menampal perkataan Cina di 3 papan tanda jalan di Kuching.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.