27 pelanggan kafe positif Covid-19 akibat ‘super spreader’ tak pakai pelitup muka

27 pelanggan kafe positif Covid-19 akibat ‘super spreader’ tak pakai pelitup muka

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan percaya virus itu mungkin disebarkan melalui titisan air atau penghawa dingin dalam kafe itu yang menyebabkan 27 pelanggan positif koronavirus.

Starbucks Korea Selatan mengurangkan kapasiti tempat duduk tidak lebih 30% di semua premisnya di Seoul dan kawasan berdekatan, selepas kewujudan kluster yang berpunca daripada sebuah kafe di bandar Paju, wilayah Gyeonggi.
PETALING JAYA:
Seramai 27 pelanggan sebuah cawangan Starbucks di Korea Selatan dijangkiti Covid-19 akibat seorang wanita tidak memakai pelitup muka yang merupakan “super spreader” virus itu.

Menurut akhbar Hong Kong, Singtao yang memetik laporan media Korea Selatan, wanita berusia 30-an itu menemui rakannya di sebuah cawangan Starbucks di bandar Paju, wilayah Gyeonggi, selama 2 jam pada malam 8 Ogos lalu.

Akhbar itu melaporkan wanita terbabit mengalami simptom sakit kepala dan batuk keesokannya, tetapi keadaannya tidak beransur pulih pada 11 Ogos, selepas memakan ubat.

Wanita berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lalu selepas menjalani ujian saringan.

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan sedang menyiasat bagaimana virus itu disebarkan dalam cawangan Starbucks.

Tetapi, mereka percaya virus itu mungkin disebarkan melalui titisan air atau penghawa dingin dalam kafe itu yang menyebabkan 27 pelanggan positif koronavirus, termasuk seorang murid yang hanya ke premis itu untuk menggunakan tandas dan seorang lagi individu yang berada di kafe berkenaan selama 10 minit.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, jumlah kes dikaitkan dengan kluster itu meningkat kepada 54 orang Rabu lalu, dengan 48 daripadanya tinggal di wilayah Gyeonggi.

Susulan itu, Reuters melaporkan Starbucks bertindak mengurangkan kapasiti tempat duduk tidak lebih 30% di semua premisnya di Seoul dan kawasan berdekatan, selepas pihak berkuasa melaksanakan penjarakan sosial lebih ketat Ahad lalu.

Syarikat itu berkata, ia juga akan meningkatkan peraturan kebersihan di semua cawangan dan mencadangkan pelanggan memakai pelitup muka serta menangguhkan kempen promosinya.

Starbucks mempunyai lebih 1,400 cawangan di Korea Selatan, hampir sama jumlahnya dengan Jepun, yang mempunyai lebih sekali ganda populasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.