
Ketua Polis Daerah Langkawi, Mohd Iqbal Ibrahim berkata lelaki berusia 64 tahun itu menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Doha, Qatar pagi tadi.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai lelaki itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dari KLIA kira-kira 3.30 petang.
“Hasil siasatan mendapati lelaki yang bekerja dari rumah di Langkawi itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris ke Doha, Qatar seterusnya menaiki pesawat sama ke KLIA semalam (19 Ogos).
“Lelaki itu tiba pada 8.25 pagi tadi dan disaring petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di KLIA dan keputusan saringan adalah negatif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iqbal berkata, susulan keputusan negatif, lelaki itu dibenarkan menjalani kuarantin di rumahnya di Langkawi.
“KKM KLIA mengarahkan lelaki itu bertemu dengan pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kedah pada 1 Sept ini sebelum dijadualkan menjalani ujian ke-2 sehari kemudian (2 Sept).
Katanya, polis dan petugas Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan membuat pemantauan ke atas lelaki itu di kediamannya dari semasa ke semasa untuk memastikan perintah kuarantin dipatuhi.
“Saya nasihatkan masyarakat jangan panik dan sentiasa mematuhi SOP KKM sepanjang berada di Langkawi.”