Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

Penangguhan itu akan diputuskan selepas mendapat nasihat daripada KKM, MKN, dan kerajaan negeri.

TANJUNG MALIM:
Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan kerajaan negeri.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 dan SOP juga ditekankan kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai SOP dengan pihak universiti dan KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.