RM512.5 juta disalur kepada KKM perangi Covid-19

RM512.5 juta disalur kepada KKM perangi Covid-19

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata usaha pembendungan penularan pandemik itu adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi.

Elaun berjumlah RM222.4 juta dibayar kepada kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain.
KUALA LUMPUR:
Sehingga 7 Ogos lalu sebanyak RM512.5 juta disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan kementerian itu untuk memerangi Covid-19, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, usaha pembendungan penularan pandemik itu adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi dan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan unit rawatan rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

“Bagi Elaun Khas Barisan Hadapan, setakat 7 Ogos 2020, sebanyak RM222.4 juta telah disalurkan berdasarkan 694,447 tuntutan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan Covid-19.

“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana ke-17 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dikeluarkan hari ini.

Mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH), Tengku Zafrul berkata, bayaran sebanyak RM2.7 bilion dikreditkan ke dalam akaun bank yang melibatkan seramai 4.13 juta penerima.

“Penerima BSH yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Dis 2020,” katanya.

Bagi Program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, sehingga 7 Ogos, jumlah pengeluaran kumulatif antara tempoh April hingga Ogos tahun ini adalah sebanyak RM6.5 bilion, meningkat daripada RM5.71 bilion pada minggu sebelumnya, dan melibatkan 4.52 juta penerima (peningkatan daripada 4.5 juta).

Sementara itu, sehingga 7 Ogos lalu Tengku Zafrul berkata kerajaan menyalurkan bantuan kepada 29,968 pemandu teksi berjumlah RM17.9 juta buat penerima fasa pertama, meningkat daripada 29,665 pemandu teksi berjumlah RM17.8 juta pada minggu sebelumnya.

“Bagi penerima fasa ke-2, pembayaran mula dibuat pada 22 Julai yang melibatkan 4,814 pemandu,” katanya sambil menambah seramai 1,376 pemandu menerima pembayaran bagi fasa ke-2 berjumlah RM825,000.

Bagi pemandu pelancong, beliau berkata, sehingga 7 Ogos seramai 7,582 orang menerima bantuan berjumlah RM4.55 juta, meningkat daripada 7,570 orang berjumlah RM4.54 juta pada minggu sebelumnya.

“Selain itu, pembayaran kepada 3,104 pemandu bas pelancongan mula dibuat pada 22 Julai, dan setakat 7 Ogos seramai 2,870 pemandu menerima bantuan berjumlah RM1.7 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.