Pegawai khas Isa tak pernah bawa beg kertas masuk bilik pejabat, kata saksi

Pegawai khas Isa tak pernah bawa beg kertas masuk bilik pejabat, kata saksi

Bekas setiausaha Isa Samad, Zuraida Ariffin @ Shaari, 49, berkata sepanjang ingatannya pegawai khas Isa akan masuk ke bilik majikannya tanpa membawa apa-apa.

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Muhammad Zahid Md Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah membawa beg kertas atau beg lain ke bilik pejabat bekas pengerusi Felda itu.

Bekas setiausaha Isa, Zuraida Ariffin @ Shaari, 49, berkata sepanjang ingatannya Zahid akan masuk ke bilik majikannya tanpa membawa apa-apa.

“Adakalanya beliau akan datang dengan memegang kertas atau sampul surat nipis apabila bertemu dengan Isa.

“Seandainya itu berlaku sudah pasti saya dapat mengingati perkara ini kerana ia tidak pernah terjadi,” kata saksi pembelaan ke-2 itu ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-2 prosiding bela diri Isa yang menghadapi 9 pertuduhan rasuah.

Ketika perbicaraan sebelum ini, Zahid yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 memberitahu mahkamah beliau menyerahkan sebanyak 9 kali wang berjumlah RM3 juta yang diisi dalam beg kertas dan beg hitam kepada Isa di pejabat tingkat 49, menara Felda.

Zuraida berkata, setiap individu yang mahu berjumpa Isa perlu melaluinya kerana kedudukan meja wanita itu berhadapan dengan bilik tertuduh serta hanya dirinya dan polis bantuan saja yang mengetahui kod akses untuk masuk ke bilik Isa.

“Saya juga akan bertanggungjawab untuk membuka pintu pejabat Isa setiap kali beliau hadir di pejabat kerana beliau sendiri tidak mengingati kod akses tersebut…bagi pegawai khas beliau, mereka boleh keluar masuk berjumpa dan berurusan dengan Isa tanpa meminta kebenaran dari saya, serta saya tidak ada merekod kedatangan mereka.

“Namun, apabila Isa tiada di pejabat pula, sekiranya sesiapa sahaja, sama ada pegawai khas kepada Isa atau lain-lain individu ingin memasuki pejabat Isa, mereka perlulah berurusan dengan saya terlebih dahulu sebelum boleh memasuki pejabat Isa,” katanya.

Katanya, setiap kali Isa keluar dari pejabat, beliau tidak pernah membawa atau memegang apa-apa barang kerana barang-barangnya akan dibawa oleh pegawai khasnya, Kamar Bashah Shariff.

“Perkara sama juga berlaku setiap kali Isa tiba di pejabat beliau. Semua barangan milik Isa akan dibawa dan dijaga oleh Kamar…sepanjang ingatan saya juga, saya tidak pernah melihat Kamar membawa apa-apa beg kertas atau beg besar keluar daripada pejabat Isa,” katanya.

Saksi itu berkata, kebiasaannya beliau akan masuk ke dalam pejabat Isa selepas majikannya itu keluar dari pejabatnya bagi melihat keadaan pejabat dan meja Isa.

“Saya akan menyusun meja beliau jika ia berada di dalam keadaan yang bersepah. Setelah itu, saya akan mengunci kembali bilik beliau…saya juga tidak pernah melihat beg kertas yang ditinggalkan di dalam bilik Isa,” katanya.

Katanya, beliau hanya akan mengambil cuti pada masa Isa tiada di pejabat atau ketika Isa berada di luar negara.

Isa berdepan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC antara 21 Julai, 2014 dan 11 Dis, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pembelaan dikendalikan oleh peguam Siti Sarah Khalil manakala pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz.

Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.