
Malam ke-2 Konvensyen Demokrat, yang bertemakan “Pentingnya Kepimpinan”, bertujuan menunjukkan Biden akan mewakili parti itu untuk membawa AS kembali kepada keadaan normal.
“Dalam situasi begini, Oval Office sepatutnya menjadi pusat arahan,” kata bekas presiden AS, Bill Clinton dalam satu rakaman video.
“Sebaliknya, ia menjadi pusat kontroversi. Hanya ada huru-hara. Hanya satu perkara yang tidak berubah – keazamannya menafikan tanggungjawab dan menyalahkan orang lain.”
Konvensyen 4 hari yang sebahagian besarnya diadakan secara maya disebabkan penularan koronavirus, perwakilan dari seluruh negara mengundi dari jauh untuk mengesahkan pencalonan Biden.
Dalam klip video dihantar dari seluruh negara, perwakilan Demokrat pelbagai peringkat menjelaskan alasan mereka menyokong Biden.
Sampai giliran kampung halamannya, Delaware yang muncul di akhir sesi, Biden muncul secara langsung buat kali pertama di sebuah sekolah di negeri itu bersama isterinya, Jill untuk menyampaikan ucapannya.
“Terima kasih banyak-banyak daripada lubuk hati saya,” katanya yang akan menyampaikan ucapan pencalonannya pada Khamis ini.
“Ia amat bermakna kepada saya dan keluarga.”