
Peguam Hisyam Teh berkata, Azeez yang juga ahli Parlimen Baling perlu berada di Parlimen untuk bacaan ke-2 Rang Undang-undang Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan itu.
“Saya membenarkan kes itu didengar esok,” katanya.
Januari tahun lalu, Azeez didakwa atas 3 pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta berkaitan projek jalan di Perak dan Kedah, serta 9 pertuduhan pengubahan wang membabitkan hampir RM140 juta. Latif pula didakwa bersubahat dengan adiknya.
Pertuduhan rasuah itu mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala dakwaan pengubahan wang di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Azeez turut dituduh menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah di Lembah Klang antara Disember 2010 hingga April 2018.
Wang itu didakwa dibayar kepada Azeez sebagai habuan membenarkan Menuju Asas mendapat projek menaik taraf jalan di Kedah dan Perak bernilai RM842.3 juta melalui rundingan terus.
Azeez juga didakwa menerima RM139.34 juta daripada 4 syarikat, iaitu Menuju Asas, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering Sdn Bhd.
Latif pula didakwa bersubahat atas 2 pertuduhan mendapatkan rasuah RM4 juta, sebahagian daripada RM5.2 juta yang didakwa diterima adiknya.
Azeez, Latif dan sepupunya ditahan untuk siasatan rasuah dan pengubahan wang pada September 2018.
SPRM menyerbu rumah dan pejabat Azeez di Baling serta Lembah Klang dan menyita wang tunai RM500,000.
Azeez sebelum ini mendakwa wang itu sebahagian peruntukan Umno dan Kelab Putera 1Malaysia.