
Beliau berkata, begitu juga dengan pengisytiharan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di satu-satu kawasan dalam negeri kerana kerajaan negeri tidak mempunyai akta khusus untuk berbuat demikian dan keputusan itu boleh dicabar di mahkamah.
“Ada yang buat keputusan sendiri untuk batal dan tidak benarkan beberapa aktiviti perniagaan termasuk pelancongan perubatan, malah ada yang bercadang nak tutup kampung tertentu di bawah PKPD.
“Saya mohon, negeri ini rujuk dulu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri sama ada kita benarkan atau tidak. Ini kerana polis hanya boleh ambil tindakan jika undang-undang itu sudah diwartakan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, kerajaan Pulau Pinang tidak membenarkan kemasukan pelancong perubatan ke negeri itu buat sementara waktu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, larangan pesakit kategori pelancongan kesihatan ke negeri itu ditetapkan sehingga Kementerian Kesihatan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.