
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, geran yang ditawarkan itu khusus untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan serta merancakkan semula industri, bukannya bagi penerbit menyimpan ia sebagai “stok”.
“Kami mohon penerbit jangan ‘peram’ apabila mereka dapat geran untuk sengaja melambatkan proses penerbitan… kalau ada sebab, tak ada masalah. Kita tak mahu letakkan geran ini sebagai salah satu stok dalam penerbitan mereka.
“Kami tahu ada sesetengah penerbit memang ada projek sedang berjalan dengan stesen televisyen, mungkin mereka dapat di luar daripada pelan Pelaksana ini, cuma kami mohon kalau mereka sudah stabil, bagilah peluang kepada orang lain,” katanya dalam sebuah program Bernama TV semalam.

Pelaksana dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah Julai lalu untuk membantu dan memberi suntikan dana kepada penggiat industri bermula bulan lalu hingga Disember depan.
Saifuddin dilaporkan berkata, suntikan dana itu mampu membantu syarikat perfileman meneruskan penggambaran, selain membayar hutang tertunggak kerana tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan-bulan ekoran penularan Covid-19.
Mengenai sambutan terhadap insentif itu, Ahmad Idham berkata, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada syarikat penerbitan.