
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, perkhidmatan itu akan dinamakan sebagai “parcel e-hailing” atau “p-hailing” untuk membezakan daripada perkhidmatan e-panggilan (perkhidmatan kenderaan awam).
“Golongan berpendapatan rendah terutama kumpulan B40 akan berpeluang mendapat pekerjaan dalam industri terkawal seterusnya meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kualiti kehidupan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, proses membangunkan peraturan dan syarat berkaitan perkhidmatan itu (p-hailing) dijangka diselesaikan akhir tahun ini.
Katanya, ketika ini hanya perkhidmatan e-panggilan penumpang yang dibenarkan di negara ini.
Katanya, lebih 200,000 pemandu e-panggilan didaftarkan pada 2018, yang kebanyakannya hanya menjalankan perkhidmatan secara sambilan atau santai sahaja.
Berdasarkan data daripada 45 syarikat e-panggilan, angka itu menurun kepada 100,000 pemandu selepas undang-undang baru dikenakan untuk perkhidmatan itu pada tahun berikutnya.
Menurutnya, undang-undang itu mengkehendaki syarikat e-panggilan berdaftar dengan kementerian pengangkutan dan memastikan pemandu mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV).
Hasbi menegaskan undang-undang itu bertujuan memastikan industri berkenaan diurus berlandaskan peraturan keselamatan jalan raya yang bersesuaian selain membantu syarikat menguruskan perkhidmatan dan pemandu mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai jumlah rakyat yang terbabit dalam ekonomi gig sejak 2018.
Sim juga bertanya mengenai langkah diambil bagi memastikan kebajikan pemandu.
Hasbi berkata, kerajaan sedang meneliti dasar insurans perubatan dan lesen PSV, dengan pemandu boleh melunaskan caruman bulanan sebanyak RM13 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kerajaan juga memberikan potongan 70% untuk menyelesaikan saman, seterusnya mengelakkan mereka disenarai hitam,” katanya.