
Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, sebanyak 2,500 aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 18 Mac hingga 4 Ogos lalu.
“Kes ke-2 tertinggi direkodkan ialah penipuan bagi pinjaman tidak wujud dengan 1,582 kes melibatkan RM18 juta manakala, Macau Scam pula menyaksikan kerugian RM50 juta dengan 1,001 kes.
“Sementara ‘love Scam’ dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS) pula masing-masing merekodkan 481 kes (kerugian RM18 juta) dan 91 kes atau kerugian RM800,000,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan lisan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP lalu.
Katanya, bagi mengekang kes itu PDRM mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police bagi berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan jenayah dalam talian.
Selain itu katanya, PDRM turut membangunkan sebuah portal bagi memudahkan masyarakat untuk membuat semakan nombor telefon sindiket atau akaun bank yang digunakan oleh sindiket dalam urusan pindahan wang mangsa ke akaun sindiket.
“Portal tersebut boleh dicapai melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan kini ia juga boleh dimuat naik dengan menggunakan telefon mudah alih,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan Azeez mengenai kekangan PDRM untuk membendung sindiket dalam talian itu, Ismail menjelaskan, PDRM berdepan beberapa masalah termasuk untuk mengenal pasti identiti pemanggil, penjenayah terbabit menggunakan akaun pihak ke-3 dan beroperasi di luar negara.
“Dalam kes melibatkan di luar negara, kita terpaksa meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti penjenayah.
“Selaras dengan itu juga, PDRM mewujudkan pasukan khas yang turut dianggotai Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia (CSM) dan industri telekomunikasi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana tahap keselamatan butiran peribadi orang ramai dijamin ketika mengisi maklumat untuk memasuki sesebuah premis perniagaan.
Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan, bagi mereka yang mengguna aplikasi MySejahtera, tahap keselamatannya tinggi, manakala yang mengisi secara manual siasatan akan dilakukan jika terdapat aduan.