Kerajaan lulus lebih 270,000 permohonan MyPR

Kerajaan lulus lebih 270,000 permohonan MyPR

Kerajaan juga membatalkan sebanyak 1,430 MyPR atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, berkata bagi mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) pemohon perlu mempunyai pasport sah dan mempunyai permit masuk dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan meluluskan sebanyak 270,837 permohonan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) hingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan juga membatalkan sebanyak 1,430 kad MyPR atas pelbagai kesalahan.

Katanya, pembatalan itu direkodkan bermula 2015 hingga Julai lalu.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata bagi mendapatkan MyPR, pemohon perlu mempunyai pasport yang sah dan mempunyai permit masuk dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Dasar sedia ada bagi permohonan permit masuk menetapkan 4 kategori pemohon yang layak dipertimbangkan untuk memohon permit masuk iaitu, kategori suami kepada warganegara, kategori isteri kepada warganegara, kategori anak kandung kepada warganegara dan kategori sistem mata untuk warga asing sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bagi permohonan permit yang ditolak adalah berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada antaranya tidak memenuhi syarat pertimbangan untuk permohonan permit masuk seperti sistem mata bagi warga asing sepenuhnya dan tempoh perkahwinan serta keberadaan pemohon yang tidak menepati kelayakan untuk kategori pasangan kepada warganegara.

“Selain itu, terdapat bantahan terhadap borang rujukan imigresen daripada PDRM, terdapat bantahan terhadap permohonan hasil daripada pemeriksaan naziran, pemohon disenaraikan di senarai hitam jabatan, penaja atau pemohon sudah meninggal dunia, pasangan bercerai atau penaja menarik diri daripada menjadi penaja.

“Sehubungan itu, surat penolakan dikeluarkan oleh JIM adalah berdasarkan faktor penolakan itu selari dengan SOP ditetapkan. Bagaimanapun, sekiranya pemohon memerlukan penjelasan atas permohonan permit masuk, pemohon boleh merujuk kepada pejabat JIM terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan SOP untuk permohonan pemastautin tetap Malaysia kerana terdapat banyak permohonan ditolak tanpa menyatakan sebab.

Menjawab soalan tambahan Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta kerajaan menjelaskan tindakan pihak berkuasa kepada mereka yang menjual kad pengenalan palsu, Ismail berkata tindakan undang-undang sudah diambil.

“Kita ambil tindakan tegas dan beberapa individu dihadap ke mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.