12 kes baru Covid-19, 17 sembuh

12 kes baru Covid-19, 17 sembuh

Ketika ini, 211 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 12 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini

KKM berkata daripada jumlah itu, 10 adalah kes penularan dalam negara dan 2 kes import.

“Antara kes tempatan melibatkan 7 daripada kluster Tawar dan 2 kes kluster Sala.

“Tiada kematian dan tiada kluster baru dilaporkan,” katanya di Twitter kementerian itu.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 17 pesakit disahkan sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang.

Beliau berkata, 8 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,212 kes Covid-19 dengan 8,876 daripadanya sembuh.

Ketika ini, 211 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, 2 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara, iaitu dari Syria dan Filipina.

Beliau berkata, 10 kes penularan dalam negara adalah 1 di Selangor, iaitu kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, selebihnya adalah 4 kes daripada kluster Tawar dan 2 kes daripada kluster Sala di Kedah serta 3 kes daripada kluster Tawar di Pulau Pinang.

Beliau berkata, KKM mahu memaklumkan bahawa bagi kluster Tawar, 46 kes didapati positif Covid-19.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi, 1,135 orang disaring dalam kluster itu.

“Di Kedah, 918 orang telah disaring. Daripada jumlah itu, 39 kes dikesan positif Covid-19, 655 negatif dan 224 masih menunggu keputusan.

“Pulau Pinang, 208 telah disaring. Daripada jumlah itu, 7 kes dikesan positif Covid-19, 175 negatif dan 26 masih menunggu keputusan.

“Di Perak, 9 orang disaring. Daripada jumlah itu, tiada kes dikesan positif Covid-19, 8 didapati negatif dan 1 masih menunggu keputusan,” katanya.

Noor Hisham berkata, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster Tawar dan situasi semasa akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Beliau berkata, 6 kes positif daripada kluster Sala dikesan setakat ini.

Sehingga 12 tengah hari, seramai 273 orang disaring dalam kluster itu, katanya.

“Di Kedah, 269 disaring. 6 kes dikesan positif Covid-19, 214 negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang, 4 individu disaring. Tiada kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.