Pihak mahu sertai Muafakat Nasional perlu ikhlas, kata pemimpin Umno

Pihak mahu sertai Muafakat Nasional perlu ikhlas, kata pemimpin Umno

Khaled Nordin berkata, sesiapa yang mahu menyertai MN perlu memahami tujuan pakatan itu untuk menyatukan orang Melayu bagi membentuk teras politik nasional stabil.

Khaled Nordin mengingatkan mereka yang mahu menyertai Muafakat Nasional supaya tidak berbuat demikian untuk menyelamatkan kerusi, jawatan atau parti yang sedang berpecah belah.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno, Khaled Nordin mengingatkan pihak yang mahu menyertai Muafakat Nasional perlu “ikhlas” dan memahami tujuan pakatan itu.

Katanya, Muafakat Nasional, pakatan antara Umno dan PAS, ialah wadah penyatuan dan perpaduan orang Melayu untuk membentuk teras politik nasional yang stabil.

“Jangan silap berfikir menyertai MN untuk selamatkan kerusi, jawatan atau parti yang sedang berpecah dari dalam,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya bersetuju menyertai MN kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik.

Susulan itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta PPBM membuktikan nilai perkongsian sebenar dalam MN dengan mendapatkan undi bagi calon BN pada Pilihan Raya Kecil Slim.

Jika gagal berbuat demikian, katanya, PPBM perlu mengkaji nilai persahabatannya dengan BN dan MN selama ini.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pula berkata, penyertaan PPBM akan membolehkan MN menjadi teras politik nasional stabil berasaskan kepelbagaian kaum, ideologi serta agama.

Katanya, penyatuan itu akan melengkapkan kerangka perpaduan dan solidariti orang Melayu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamad mengingatkan PPBM supaya realistik dalam pengagihan kerusi selepas menyertai pakatan itu kerana semakin ramai ahlinya keluar parti untuk menyertai parti baru Dr Mahathir Mohamad, Pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.