
Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata mendakwa usahawan Bumiputera dalam sektor pembinaan kurang diberi peluang “terutama dalam pengagihan projek mega”, menyeru MKB meneliti kelemahan dan cabaran dihadapi mereka “yang selama ini seolah diketepikan”.
“Agensi dan jabatan yang dipertanggungjawab untuk mengupaya dan mencapai hasrat MKB perlu merangka dasar jitu, memfokuskan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan keusahawan kepada Bumiputera khususnya kumpulan kontraktor,” kata Presiden Azman Yusoff.
PKMB menyeru pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan semula dengan tumpuan khusus mewujudkan lebih ramai kontraktor berwibawa, berkebolehan, dan tulen.
Turut diseru agensi pelaksana Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperkasakan “Hub Building Material” ke semua negeri, yang akan membantu kontraktor mendapatkan harga yang lebih kompetitif, di samping kerajaan memperkasa penggunaan Sistem Bangunan Industri (IBS).
Azman berkata kontraktor perlu dilatih melalui pusat IBS CIDB, sebuah pelaksana agenda pembangunan, sebagai pemangkin bagi merapatkan jurang dalam ekosistem industri pembinaan IBS.
“Pusat ini mampu melatih serta memberi khidmat nasihat dan perunding kepada usahawan atau kontraktor dari gred bawah sehingga gred 7 (G7).
“Penggunaan IBS ini secara langsung meningkatkan lagi pekerja mahir tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam tempoh terdekat,” katanya.