Kerajaan digesa bertindak pantas, bantu wanita diberhentikan kerja

Kerajaan digesa bertindak pantas, bantu wanita diberhentikan kerja

Setiausaha agung MTUC, J Solomon berkata jumlah wanita menganggur yang tinggi akan beri kesan pada kesejahteraan sosio-ekonomi keluarga, terutama ibu tunggal.

Wanita membentuk 72.7% daripada golongan yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Institut Pengurusan Wanita (WIM) menggesa Putrajaya segera membantu wanita yang diberhentikan bekerja susulan laporan pekerja wanita paling terkesan dengan wabak Covid-19.

Mengulas seruan Puteri Umno agar kerajaan menjaga kebajikan wanita memandangkan mereka membentuk 72.7% daripada mereka yang hilang pekerjaan, Ketua Eksekutif Nellie Tan berkata majikan juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Tan menambah, kerajaan perlu mengadakan kursus keusahawanan atau menyediakan geran untuk organisasi latihan atau NGO seperti WIM untuk melakukannya.

Nellie Tan

“Kerajaan perlu mendapatkan bank untuk memberikan pinjaman kepada golongan wanita terkesan yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang hendaklah menekankan perlunya menyokong wanita yang terkesan apabila mereka berbahas di Parlimen dan dalam sesi berhubung pra-Belanjawan,” katanya.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata walaupun kadar tinggi pemberhentian kerja dalam kalangan wanita dikesan, tiada isu diskriminasi terlibat.

“Walaupun beberapa pemberhentian dibuat secara tidak adil, kami tidak mengesan adanya suatu corak diskriminasi terhadap wanita,” kata Setiausaha Agung J Solomon.

J Solomon

Sementara itu, Solomon berkata, jumlah wanita menganggur yang tinggi akan memberi kesan pada kesejahteraan sosio-ekonomi keluarga, terutama ibu tunggal.

Tambahnya, kerajaan perlu melaksanakan peraturan pengambilan kerja kecemasan yang memaksa majikan mengekalkan pekerja untuk jangka waktu tertentu.

“Kami rasa Kementerian Sumber Manusia perlu memberi tumpuan khusus kepada mereka yang berpendapatan tunggal, termasuk ibu tunggal, bagi memastikan mereka tidak diberhentikan.”

Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma berkata, walaupun Indeks Jurang Jantina Malaysia menunjukkan jurang jantina lebih rendah, ketidaksamaan dalam pengangguran adalah membimbangkan.

Jelasnya, dalam hal pencapaian pendidikan, wanita menunjukkan prestasi lebih tinggi berbanding lelaki di peringkat menengah (94.2% hingga 84.2%) dan peringkat tertinggi (50.3% hingga 37.8%), maka, “kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan wanita menunjukkan pembaziran sumber manusia.”

Berma berkata statistik pekerjaan dan pengangguran juga menunjukkan trend LIFO (last-in-first-out) dalam tenaga kerja, di mana wanita menjadi golongan yang terakhir di ambil bekerja tetapi pertama yang diberhentikan ketika kemerosotan ekonomi.

Beliau berkata, “kerajaan haruslah membangunkan pangkalan data wanita yang komprehensif, terutama mereka yang diberhentikan, dengan memperincikan pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman mereka”, di mana ia dapat dijadikan sebagai rujukan untuk majikan yang berpotensi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.