
Presiden Donald Trump yang menyampaikan kenyataan bersama itu di Twitter, mengatakan “diplomatik bersejarah ini akan mengukuhkan lagi keamanan di rantau Timur Tengah dan menjadi bukti kepada diplomasi serta visi berani ketiga-tiga pemimpin.”
Menurut kenyataan itu lagi “Israel akan menangguhkan pengumuman kedaulatan yang digariskan dalam visi presiden untuk perdamaian dan menumpukan usahanya kepada meluaskan hubungan dengan negara lain di dunia Arab.”
Delegasi Israel dan UAE akan bertemu dalam beberapa minggu lagi untuk menandatangani perjanjian 2 hala dalam pelbagai bidang, kata kenyataan itu.
Trump kemudian memberitahu wartawan di Rumah Putih, Israel dan UAE akan mengadakan majlis “rasmi” mengenai perjanjian dalam beberapa minggu lagi.
Pengumuman itu menjadikan UAE negara Teluk Arab pertama serta yang ke-3, selepas Mesir dan Jordan, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Duta Besar UAE ke AS Yousef Al Otaiba, menyifatkan pengumuman itu “segera menghentikan pemilikan paksa dan potensi meningkatnya keganasan. Ia mengekalkan daya maju penyelesaian 2 negara seperti yang disokong Liga Arab dan masyarakat antarabangsa.”
Pelan damai Timur Tengah kontroversi yang dilancarkan pentadbiran Trump pada Januari membenarkan pemilikan paksa oleh Israel di kawasan Tebing Barat, menimbulkan bantahan di seluruh dunia.