
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemuncak impak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan(PKP) amat ketara pada April 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sehingga 28.6% tahun ke tahun.
Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti 45%.
Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
“Bagaimanapun pada Mei 2020, (penguncupan) adalah -19.5% tahun ke tahun, manakala pada Jun, ia mencatat penyusutan kecil -3.2% tahun ke tahun yang merupakan peningkatan ketara selepas perniagaan beroperasi semula.
“Secara kumulatif, KDNK suku ke-2 2020 menguncup pada 17.1% peraketika negara terpaksa melaksanakan langkah penguatkuasaan yang tegas bagi membendung penularan Covid-19.
“Kita menyaksikan pemulihan bentuk (lekuk) ‘V’ bermulai Mei 2020. Sehubungan itu, Jun adalah petunjuk baik bagi membuktikan bahawa ekonomi semakin pulih,” kata Zafrul hari ini.
Beliau menegaskan dalam senario semasa, penilaian bulanan adalah sesuatu yang penting.
Sebagai contoh katanya, kadar pengangguran pada Jun 2020 berkurang kepada 4.9% berbanding 5.3% pada Mei 2020.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatat pemulihan sebanyak 26.2% bulan ke bulan pada Jun 2020 (-0.4% tahun ke tahun berbanding Mei 2020 (-21.6% tahun ke tahun).
Selain itu, jualan borong dan runcit meningkat 21.8% pada Jun berbanding bulan sebelumnya.
Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) juga pulih secara ketara daripada paras rendah tahun ini, iaitu 31.3% pada April kepada melebihi 50% pada Jun dan Julai, sekali gus menunjukkan bahawa sektor pembuatan telah melepasi penguncupan ketika tempoh PKP.
Perbelanjaan pengguna turut meningkat, termasuk penjualan kereta penumpang yang menokok 6.3% tahun ke tahun bagi Jun 2020.
BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5% daripada -2 hingga 0.5% sebelum ini berikutan anggaran awal dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama 4 minggu berbanding 7 minggu.
Ekonomi dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5% kepada 8.0% pada 2021.
Selain itu, pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) juga dijangka menyumbang lebih 3.0% kepada pertumbuhan KDNK pada 2020.
KDNK United Kingdom menguncup pada -21.7% dalam suku ke-2 2020, manakala Perancis susut -13.8% pada tempoh sama.
Di peringkat serantau, Singapura mencatatkan penyusutan KDNK sebanyak 12.6%, manakala Filipina menguncup 16.2% dan Indonesia susut 5.3%.
Mengulas fasa pemulihan di Malaysia, Zafrul berkata, eksport pada Jun 2020 meningkat semula kepada 8.8% daripada -25.5% pada Mei.
Beliau berkata, momentum pertumbuhan yang disaksikan pada Jun dijangkakan terus kekal bagi tempoh berbaki tahun ini.
“Kita berharap ekonomi itu akan terus meningkat dalam suku-suku ke-3 dan ke-4 tahun ini,” katanya.
Menyentuh prospek 2021, Zafrul berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada paras purata 6.3%, manakala Bank Dunia pada 6.9%.
Dalam kenyataan berasingan, Zafrul menyifatkan asas sistem kewangan Malaysia juga kekal kukuh.
“Tidak seperti krisis kewangan global pada 2008–2009, sistem perbankan Malaysia memasuki fasa mencabar ini dalam kedudukan yang kukuh.
“(Jumlah) penampan modal sistem perbankan pada RM121 bilion adalah melebihi 3 kali ganda berbanding paras ketika krisis kewangan itu,” katanya.
Beliau berkata, faktor seperti mudah tunai mencukupi berserta kualiti aset yang baik dan kerangka pengurusan risiko yang kukuh terus menyokong aktiviti pinjaman serta ekonomi secara menyeluruh.
Zafrul berkata, kerajaan kekal fokus pada strategi 6R, iaitu Ketetapan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Penyusunan Semula (Reform) bagi mengemudi ekonomi ke arah pemulihan.
“Kita kini dalam fasa ‘Pemulihan’ dan di tengah-tengah persiapan bagi fasa ‘Memperkasa’ yang akan dibentangkan dalam pengumuman Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada November 2020,” katanya.
Menurutnya, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka dengan ketidaktentuan persekitaran luaran yang terus ketara, kerajaan kekal optimis, namun berhati-hati serta komited bagi memastikan ruang fiskal yang memadai untuk menguruskan cabaran masa depan.
“Asas ekonomi dan sistem kewangan kekal baik dan negara ini telah berulang kali membuktikan daya tahannya ketika berdepan kelemahan di peringkat luaran,” katanya.
Zafrul turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong rakyat, perniagaan dan pasaran bagi mengupayakan sebanyak mungkin sektor ekonomi untuk kembali pulih apabila pertumbuhan global meningkat semula pada 2021.