Pemegang taruh dakwa tiada rundingan berhubung badan pengawasan polis baru

Pemegang taruh dakwa tiada rundingan berhubung badan pengawasan polis baru

Majlis Peguam IPCMC berkata rundingan perlu bagi memastikan suruhanjaya diperkasakan.

RUU IPCMC kali pertama diusulkan pada 2005 sebagai salah satu daripada beberapa cadangan suruhanjaya siasatan diraja.
PETALING JAYA:
Pengerusi Pasukan Petugas IPCMC Majlis Peguam mendakwa tiada rundingan dibuat dengan pemegang taruh berhubung rang undang-undang baru yang akan dibentangkan bulan ini, menggantikan RUU yang dibentangkan tahun lepas.

M Ramachelvam beritahu FMT tiada rundingan dibuat dengan Majlis Peguam tentang RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC), yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Ogos.

“Saya difahamkan tiada rundingan dengan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah juga,” tambahnya.

“Dari apa yang saya tahu, tiada rundingan dengan pertubuhan masyarakat sivil juga.”

Ramachelvam berkata rundingan perlu bagi memastikan suruhanjaya diperkasakan, dan menyeru ciri-ciri asas RUU yang dicadangkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dimasukkan dalam RUU IPCC baru.

RCI ditubuhkan pada Februari 2004 berikutan ketidakpuasan hati orang ramai terhadap dakwaan keganasan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan polis.

Dilaporkan panel bipartisan inkuiri itu menerima lebih dari 900 aduan, termasuk kematian dalam tahanan, dan penderaan fizikal dan psikologi.

Laporan penuh panel pada 2005 menggariskan 125 cadangan, termasuk penubuhan badan pengawasan bebas.

Kerajaan pada masa itu menolaknya, sebaliknya menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), badan yang didakwa pengkritik sebagai kosmetik.

Muhyiddin Yassin, yang merupakan menteri dalam negeri dalam pentadbiran lepas, pada 2018 berkata kerajaan akan mengkaji semula cadangan tersebut.

Polis pada Mei 2019 menyetujui penubuhan badan pengawasan, selepas perbincangan dengan Majlis Peguam, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Namun, selepas bacaan draf pertama, RUU tersebut diserahkan kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk penelitian lanjut, berikutan tentangan terhadap fasal tertentu dari pembangkang.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kerajaan akan menggantikan RUU IPCMC dengan RUU IPCC, yang mencadangkan suruhanjaya itu diletakkan bawah KDN bagi membolehkan menteri memantau perkembangan.

Usul sebelum ini mencadangkan IPCMC diletakkan bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri.

Ramachelvam berkata meletakkan badan pengawasan bawah KDN boleh menyebabkan percanggahan kepentingan dan kurangnya kepercayaan masyarakat terhadap kebebasannya.

“Apa yang penting suruhanjaya mesti bebas,” katanya.

“Suruhanjaya itu perlu diberi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan, termasuk kuasa tatatertib. Jika tidak, ia tidak akan berkesan dan tidak akan memenuhi matlamat mewujudkan kebertanggungjawaban dalam polis.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.